Operator kantin sekolah diingatkan patuhi spesifikasi ditetapkan

Operator kantin sekolah diingatkan patuhi spesifikasi ditetapkan

AZLAN MAN meninjau keindahan dan keunikan kantin berkonsep kafetaria di SK Bintong, Kangar, Perlis, hari ini. - FOTO/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Operator kantin sekolah diingatkan supaya sentiasa bertanggungjawab dalam memastikan penyediaan makanan kepada murid atau pelajar sekolah adalah yang benar-benar berkualiti.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, operator kantin telah dimaklumkan terlebih dahulu bahawa mereka perlu mengikut spesifikasi penyediaan makanan berkualiti serta berkhasiat semasa penawaran tender diberikan.

Katanya, hal demikian adalah satu amalan standard bagi memastikan operator sentiasa menyediakan makanan berkhasiat kepada murid dan pelajar sekolah.

“Kita faham setiap operator memerlukan keuntungan namun tidak boleh mengorbankan kualiti makanan yang dihidangkan,” katanya ketika ditemui selepas melawat kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Bintong yang melakukan tranformasi kantin kepada konsep kafeteria di sini hari ini.

Tambah Azlan, faktor tersebut penting kerana bukan sahaja murid dan pelajar mendapatkan perkhidmatan bahkan guru-guru turut menjamu selera di kantin sekolah selain ingin mengelakkan masalah seperti keracunan makanan dan sebagainya.

Mengulas mengenai dakwaan isu penyediaan makanan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) tidak berkualiti yang tular baru-baru ini, Azlan berkata, beliau berharap perkara seperti itu tidak berlaku lagi.

“Saya yakin ada syarat utama ditetapkan kepada sesiapa sahaja yang ditawarkan untuk mengoperasikan kantin sekolah atau institusi pengajian yang lain.

“Jadi saya yakin, ia adalah kegagalan pihak operator menyediakan makanan seperti ditetapkan dan bukannya ditanggung oleh pihak kerajaan sekiranya ia berlaku di sekolah kerajaan. Ia adalah tanggungjawab operator.

“Kita perlu tingkatkan standard, tidak boleh di tahap lama. Harapan pengguna daripada segi kualiti perlu dinaikkan,” ujarnya.

Tambah beliau, pada masa sama, bersesuaian dengan kehendak pengguna, operator harus memastikan kualiti makanan, kebersihan dan kekemasan pekerja serta premis sentiasa dipertingkatkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN