Op Selamat: 132 kemalangan, satu maut di Perak - Utusan Malaysia

Op Selamat: 132 kemalangan, satu maut di Perak

ANGGOTA polis trafik mengawal lalu lintas di Jalan Sultan Idris, Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sebanyak 132 kes kemalangan dengan satu kematian dicatatkan pada hari pertama Op Selamat 17 sempena perayaan Tahun Baharu Cina di seluruh negeri ini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintenden Azizan Hassan berkata, nahas itu direkodkan di jalan perbandaran di mana kemalangan maut mengorbankan penunggang motosikal warga emas berusia 80 tahun di Taiping.

“Daerah Ipoh mencatatkan jumlah kemalangan tertinggi sebanyak 56 kes diikuti Taiping (15), Tapah (12), Kuala Kangsar (9), Kampar (8) dan Kerian (7). 

“Bagi daerah lain pula, Hilir Perak merekodkan empat kes kemalangan manakala Batu Gajah, Gerik, Manjung dan Perak Tengah merekodkan tiga kes selain Selama dan Sungai Siput dengan satu kes,” katanya ketika ditemui selepas meninjau aliran trafik di Jalan Sultan Idris Shah di sini hari ini.   

Mengulas lanjut Azizan berkata, polis akan menempatkan anggotanya untuk mengawal kesesakan trafik khususnya pada waktu puncak membabitkan 28 lokasi yang telah dikenal pasti.

Katanya, antara lokasi yang dikenal pasti itu termasuk di Ipoh membabitkan Jalan Sultan Iskandar, Jalan Sultan Idris Shah, Jalan Kuala Kangsar, Jalan Sultan Nazrin dan Simpang Pulai manakala di Taiping pula di persimpangan lampu isyarat Changkat Jering, KFC Simpang, Toyo Tire dan Simpang Halt.

“Laluan lain yang dijangka sesak termasuk di daerah Manjung membabitkan pekan Pantai Remis, Ayer Tawar, Batu 6 Lekir dan Teluk Batik.

“Bagi mengatasi kesesakan lalu lintas, kita akan menempatkan anggota di kawasan tersebut untuk memantau dan melancarkan aliran trafik terutama pada waktu puncak,”katanya.

Dalam pada itu Azizan berkata, pihaknya juga menjangkakan aliran trafik masuk ke bandar raya ini meningkat sebanyak 30 peratus berbanding hari biasa.

“Terdapat sedikit kesesakan kenderaan di setiap laluan masuk ke pusat bandar di mana orang ramai terutama kaum Cina keluar membuat persiapan untuk menyambut Tahun Baharu Cina.

“Selain itu, melalui pemantauan yang dijalankan, kita mendapati terdapat pertambahan jumlah kenderaan menghala ke utara namun keadaan lalu lintas masih terkawal dan lancar di kedua-dua arah,” katanya. – UTUSAN  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya