NS Antlers hampakan penyokong Kelantan - Utusan Malaysia

NS Antlers hampakan penyokong Kelantan

NEGERI Sembilan tekad meneruskan momentum kemenangan menjelang aksi berdepan Putrajaya Cyborg, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Walaupun menerima tekanan hebat daripada penyokong pasukan lawan, Negeri Sembilan Antlers masih mampu mengukir kemenangan apabila mengejutkan Kelantan Warriors dalam aksi Liga Premier yang diheret sehingga ke set penentuan pada kejohanan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/22 di Stadium Titiwangsa dekat sini, semalam.

Skuad rusa yang bermula baik dalam set pertama, bagaimanapun tewas 18-21 setelah diberi tentangan sengit oleh Kelantan Warriors yang beraksi tanpa tekong utama, Muhammad Zulkifli Abd Razak atau lebih dikenali sebagai Sobey.

Skuad Pantai Timur yang ketinggalan 0-5 sebaik perlawanan disambung semula dalam set kedua, akhirnya memasukkan Sobey, namun, bekas pemain kebangsaan tersebut tidak mampu membantu pasukannya apabila tewas 18-21 dan sekaligus membuka laluan kepada Negeri Sembilan Antlers mengheret permainan ke set penentuan.

Permainan yang disambung ke set ketiga, memperlihatkan aksi sengit daripada kedua-dua pasukan, namun, Negeri Sembilan yang mempamerkan prestasi lebih baik akhirnya melakar kemenangan 21-14 bagi menutup permainan.

Kejayaan ke atas Kelantan itu merupakan kemenangan kedua skuad rusa daripada tiga perlawanan STL setakat ini.

Sementara itu, pengurus pasukan Negeri Sembilan Antlers, Mohd Syaharin Ismail ketika ditemui Mingguan Malaysia selepas perlawanan berkata, hasil kerjasama pengurusan, jurulatih dan juga pemain, skuad rusa akhirnya beroleh kemenangan sekalipun terpaksa akur dalam set pembukaan.

“Kejayaan kami pada hari ini (semalam) adalah di atas faktor taktikal yang mana para pemain berjaya menterjemahkan pertemuan itu kepada satu kemenangan.

“Kelebihan pertahanan kami memberi mata kepada Negeri Sembilan dan saya berharap momentum kemenangan ini akan dapat terus dikekalkan ke perlawanan berikut,” katanya.

Menurutnya, dibarisi dua tekong berpengalaman iaitu Mohamad Hisham Mat dan Yus Hanif Rosli menjadi kekuatan kepada pasukan untuk mencatat kemenangan kedua daripada tiga perlawanan.

Hari ini, Negeri Sembilan Antlers bakal menghitung pertemuan dengan Putrajaya Cyborg dalam satu lagi aksi yang diramalkan berlangsung menarik.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya