Nilai eksport perabot kayu negara sebanyak RM9.26 bilion tahun lalu - Utusan Malaysia

Nilai eksport perabot kayu negara sebanyak RM9.26 bilion tahun lalu

WILLIE Mongin (kiri) menyaksikan ahli-ahli jawatankuasa Persatuan Industri Perabot Sarawak mengangkat sumpah menerima jawatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Nilai eksport perabot kayu negara tahun lalu (setakat November 2021) adalah sebanyak RM9.26 bilion.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Willie Mongin berkata, hampir 50 peratus perkayuan negara adalah daripada industri perabot.

Menurut beliau, sektor perkayuan adalah penyumbang ketiga utama bagi agrikomoditi negara dan industri perabot merupakan penyumbang utama eksport perkayuan negara.

“Pada 2020, Malaysia merupakan pengeksport perabot kayu ke-12 terbesar dunia dan diiktiraf sebagai pengeluar perabot kayu berkualiti tinggi,” katanya ketika berucap pada majlis angkat sumpah terima jawatan ahli-ahli jawatankuasa Persatuan Industri Perabot Sarawak (SFIA) bagi tempoh 2021/2022 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini.

Willie berkata, kerajaan menerusi Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) 2021-2030 menyasarkan pada tahun 2030, 70 peratus daripada jumlah nilai eksport, iaitu bersamaan RM23 bilion disumbangkan oleh produk hiliran yang merangkumi perabot kayu.

Susulan itu katanya, kerajaan menerusi Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah mengenal pasti dan melaksanakan beberapa inisiatif jangka panjang bagi merancakkan lagi industri perabot bagi menambah nilai eksport perkayuan negara.

Antaranya menurut Willie, termasuk membangunkan kemahiran pereka perabot tempatan berdasarkan keperluan industri perabot ke tahap pengeluaran secara Original Design Manufacturing (ODM) dan Original Brand Manufacturing (OBM) yang boleh meningkatkan nilai produk sehingga 50 peratus serta diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Selain itu, meningkatkan inisiatif industri ke arah ODM dan OBM serta menghasilkan produk kayu ‘Buatan Malaysia’ dan mengembangkan keupayaan reka bentuk dan inovasi industri kayu-kayan Malaysia melalui pemindahan teknologi dan penjenamaan, termasuk melalui universiti dan institusi serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Beliau berkata, kementerian juga komited untuk membantu pemain industri perabot menembusi pasaran antarabangsa menerusi agensi dan majlis bertanggungjawab menerusi penglibatan dalam program pemasaran serta promosi di peringkat domestik dan juga antarabangsa.

“Saya maklum akan usaha berterusan SFIA dalam pembangunan industri perabot di Sarawak.

“Sejajar dengan permintaan pasaran eksport yang semakin meningkat SFIA mempunyai peranan penting dalam memastikan daya tahan (resiliency) industri perabot pada persekitaran perniagaan global yang semakin mencabar, khususnya dalam mendepani pandemik Covid-19,” katanya.

Justeru, Willie menyeru pemain industri perabot untuk mengamalkan perdagangan yang baik (good trade practices) serta keperluan pihak industri dalam menyediakan penginapan pekerja yang kondusif selaras dengan komitmen kerajaan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) serta Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Beliau berharap agar ahli jawatankuasa SFIA yang baharu dapat bekerjasama dengan pemegang taruh dalam memastikan kemampanan industri perabot, seterusnya bekerja secara sinergi dengan Kerajaan Persekutuan dan juga Kerajaan Sarawak untuk menyumbang ke arah memperkukuh pembangunan dan daya tahan industri perkayuan perabot di Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya