KUALA LUMPUR: Selepas tewas kepada juara bertahan Kuala Lumpur (KL) Thunder Jumaat lalu, Negeri Sembilan Antlers bangkit untuk meraih kemenangan kelima musim ini dalam aksi Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) di Stadium Titiwangsa dekat sini, sebentar tadi.
Skuad bimbingan Shahibol Mazlan itu berjaya menundukkan Bomba Fighters 21-16, 19-21, 21-7 dalam perlawanan yang berlangsung sengit.
Negeri Sembilan memanfaatkan peluang di set pertama selepas juara divisyen 1 musim lalu itu kelihatan masih tercari-cari rentak permainan.
Perlawanan di set kedua berlangsung sengit apabila kedua-dua pasukan saling kejar-mengejar untuk mendapatkan mata, namun, kemenangan berpihak kepada Bomba Fighters yang menunjukkan prestasi yang lebih baik.
Tidak mahu berputih mata, Skuad Rusa melancarkan serangan demi serangan yang lebih baik di set penentuan dan hasilnya mereka meraih kemenangan berharga itu.
Setakat ini, kemenangan itu membolehkan mereka menduduki tangga kelima liga, berkongsi 10 mata bersama Penang Black Panthers yang tewas tiga kali beturut-turut dengan Putrajaya Cyborg, ATM Guardians dan Perak Bison.