Nasi Goreng RM1: 'Rasa puas lihat orang lain kenyang, gembira' - Utusan Malaysia

Nasi Goreng RM1: ‘Rasa puas lihat orang lain kenyang, gembira’

MOHD. Rizal Baharuddin menunjukkan nasi goreng yang dijualnya di warung makanan berdekatan Kolej Vokasional Ampangan, Seremban. - UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pernah diketawakan kerana menjual makanan termasuk nasi goreng, mi goreng dengan harga RM1 namun bagi Mohd. Rizal Baharudin, 48, niatnya hanyalah mahu membantu mengisi perut golongan yang susah dan memerlukan bantuan.

Membuka sebuah warung berdekatan Kolej Vokasional Ampangan di sini sejak 2019, Mohd. Rizal berkata, dia berasa cukup puas dan gembira setiap kali melihat pelanggannya kenyang dan menikmati makanan jualannya.

Malah, warung perniagaan itu kekal bertahan dan menjadi punca rezeki keluarganya sehingga kini.

“Idea membuka warung ini bermula ketika menjadi deejay di sebuah pasar raya di Senawang. Kebetulan saya melihat pasangan suami isteri yang membawa lima anak membeli nasi goreng sebanyak dua pinggan.

“Saya lihat anak-anak mereka berebut makan nasi goreng tersebut dan daripada situ saya memasang niat mahu membuka kedai makanan dan membantu mereka yang susah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.

Mohd. Rizal berkata, walaupun berdepan dengan harga kos bahan mentah yang terus meningkat, dia masih dapat mengekalkan harga jualannya itu.

“Bagi kos pula, ia bukan masalah sangat walaupun memang ada kenaikan harga. Saya mendapatkan bahan mentah untuk memasak dari banyak kedai. Masih ada peniaga yang menjual barangan mentah tertentu dengan harga lebih rendah.

“Pada harga RM1, nasi goreng yang dijual tetap lengkap dengan sayur, ayam, bebola dan kek ikan,” katanya yang memberitahu pelanggan juga banyak terdiri daripada guru dan pelajar sekolah serta pengawal keselamatan.

Mohd. Rizal yang mempunyai lima anak memberitahu, dia mampu memperoleh keuntungan sebanyak RM40 sehari dengan menjual pelbagai makanan pada harga RM1.

“Saya membuka warung dari Isnin hingga Khamis bermula pukul 12 tengah hari sehingga 5 petang manakala pada Jumaat sehingga Ahad tidak berniaga kerana bertugas sebagai deejay separuh masa termasuk di majlis-majlis perkahwinan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN