Najib mohon Queen's Counsel untuk wakilinya di Mahkamah Persekutuan - Utusan Malaysia

Najib mohon Queen’s Counsel untuk wakilinya di Mahkamah Persekutuan

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak akan memfailkan permohonan agar dirinya diwakili Queen’s Counsel (QC) pada pendengaran rayuan akhirnya berhubung hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan menyeleweng dana SRC International Sdn. Bhd., tujuh tahun lalu.

Queen’s Counsel merupakan peguam kanan yang paling senior dan berpengalaman dari United Kingdom.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Ashrof Adrin Kamarul ketika dihubungi media selepas pengurusan kes itu yang dijalankan secara Zoom di hadapan Timbalan Pendaftar, Siti Hajar Mustaffa.

“Tan Sri Shafee memaklumkan firma guamannya akan memfailkan permohonan untuk diwakili Queen’s Counsel di Mahkamah Persekutuan, esok.

“Pada prosiding hari ini juga, Mahkamah Persekutuan menetapkan 15 dan 16 Mac ini untuk pendengaran permohonan Datuk Seri Najib untuk memasukkan bukti baharu dalam rayuannya. Tarikh pendengaran rayuan utamanya masih belum ditentukan.

“Mahkamah menetapkan 28 Januari ini untuk pengurusan kes lanjutan,” kata Mohd. Ashrof.

Prosiding dalam talian itu turut dihadiri peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Pada 8 Disember lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas Najib selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC International.

Sehari sebelum itu, mahkamah sama menolak permohonan Najib untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu dalam rayuan kes penyelewengan dana tersebut atas alasan tiada keadaan istimewa yang membolehkan keterangan baharu itu diterima.

Bukti baharu yang cuba dimasukkan dalam rayuan tersebut membabitkan penglibatan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar yang dikatakan bersekongkol dengan Jho Low atau Low Taek Jho bagi memudahkan ahli perniagaan dalam buruan itu untuk menyeleweng dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya SRC International.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya