LUMUT: Langkah Majlis Perbandaran Manjung (MPM) melaksanakan sistem pelesenan digital membolehkan MPM mengesan lebih 1,000 perniagaan beroperasi tanpa lesen di daerah Manjung.
Mendedahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Yang Dipertua MPM, Syamsul Hazeman Md. Salleh berkata, ia berjaya dikesan menerusi Aplikasi Sistem Lesen Pintar Untuk Premis Perniagaan (myPATIL) yang diguna pakai MPM sejak 8 November tahun lalu.
“Ia sekali gus dapat mengelakkan ketirisan atau kerugian dialami MPM berjumlah antara RM2 juta hingga RM3 juta setahun daripada aspek kutipan hasil dan cukai daripada semua perniagaan tersebut sebelum ini,” katanya
Menurut Syamsul Hazeman, berdasarkan data pihaknya terdapat kira-kira 7,000 premis perniagaan berlesen di daerah Manjung, tetapi apabila myPATIL dikuat kuasakan, didapati ada lebih 1,000 perniagaan yang tidak berdaftar di daerah tersebut.
Sementara itu, MPM diiktiraf menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di negara ini melaksanakan sistem pelesenan digital atau dalam talian sepenuhnya dan secara menyeluruh.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, beliau difahamkan kaedah itu juga belum pernah dilaksanakan di mana-mana PBT di dunia setakat ini.
“Ini adalah satu lagi penambahbaikan dalam urusan penyampaian iaitu tidak perlu berurusan secara bersemuka, menjimatkan masa dan kos pelanggan serta lebih cekap dalam kelulusan lesen, pungutan hasil dan penguatkuasaan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan myPATIL MPM di Seri Manjung, baru-baru ini.
Hadir sama, Setiausaha Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Mufidah Mahfodz serta Pengerusi Eksekutif Gates IT Solution Sdn Bhd selaku pengendali myPATIL, Datuk Muhammad Jamil Ishak.
Menurut Nolee Ashilin, MPM yang diiktiraf PBT terbaik di Malaysia sebelum ini, menjadi perintis kepada program tersebut sebelum diperluaskan ke PBT lain di negeri ini mulai bulan depan.
Sementara itu, Syamsul Hazeman menjelaskan lagi, MPM menjalankan kerjasama dengan Gates IT Solution Sdn Bhd sejak 1 September lalu bagi melaksanakan myPATIL bagi menggantikan kertas dan papan lesen sedia ada di semua premis perniagaan berlesen dan diintegrasikan dengan aplikasi mudah alih yang dapat memudahkan operasi penguatkuasaan yang lebih efisien dan telus.
Beliau memberitahu premis perniagaan yang dipasang dengan peranti myPATIL turut menyediakan pelantar perniagaan digital myManjung Biz untuk membantu peniaga mengiklankan perniagaan mereka ke seluruh negara dan membolehkan peniaga menerima bayaran tanpa tunai merangkumi kaedah FPX, kad kredit, kad debit dan e-Wallet.
“Kaedah ini juga didapati dapat mengelak ketirisan apabila boleh mengesan perniagaan yang tidak berlesen atau tidak aktif,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE