JOHOR BAHRU: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Johor tidak terdesak untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak termasuklah Pakatan Harapan (PH) Johor bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pengerusi Muda Johor, Mohd. Azrol Rahani berkata, setakat ini, pihaknya masih belum dihubungi mana-mana parti untuk membincangkan kerjasama politik secara serius.
Menurut beliau, ketika ini, khabar angin pihaknya akan bekerjasama dengan PH dalam PRN Johor adalah merupakan kenyataan sebelah pihak.
“Setakat ini, saya masih belum menerima sebarang panggilan daripada mana-mana parti di dalam PH untuk berbincang secara serius berhubung perkara itu.
“Yang ada hanyalah pertemuan santai bersama Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Suhaizan Kaiat; Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali dan Timbalan Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching.
“Jadi, buat masa ini, semua gerak kerja yang kita lakukan adalah atas kapasiti bersendirian, dan kita juga tiada masalah sekiranya perlu bertanding secara sendirian,” katanya ketika ditemui di pejabat Muda Johor, di sini hari ini.
Turut sama, Ketua Penerangan Muda Johor, Rasid Abu Bakar dan Pengarah Libat Urus Muda Johor, Azrul Ahmad.
Mohd. Azrol yang merupakan seorang aktivis politik turut memberitahu, perancangan untuk bertanding secara solo juga sudah dibuat termasuk dengan menyediakan senarai calon bagi kesemua 56 kerusi DUN Johor.
“Memang kita dah sediakan senarai calon dan jika bertanding solo, kita yakin boleh menang di beberapa kerusi DUN melibatkan kawasan Johor Bahru, Batu Pahat dan juga Muar.
“Namun, jika kerjasama politik wujud melibatkan Muda dalam PRN Johor ini, kita menyasarkan lebih daripada 10 kerusi yang diyakini mempunyai kelebihan buat kami,” ujarnya yang sudah memulakan gerak kerja parti selama dua tahun sebelum ini.
Pada 22 Januari lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor selepas menerima mengadap Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad.
Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu kenyataan memberitahu pihaknya akan bermesyuarat berkenaan PRN Johor pada 9 Februari depan bagi membincangkan tarikh-tarikh penting berkenaan PRN Johor. -UTUSAN ONLINE