Mohon bantuan Kerajaan Pusat jika masih gagal padamkan kebakaran di Pulau Burung - Utusan Malaysia

Mohon bantuan Kerajaan Pusat jika masih gagal padamkan kebakaran di Pulau Burung

KERAJAAN Negeri Pulau Pinang digesa meminta bantuan daripada Kerajaan Pusat bagi membantu memadam kebakaran di tapak sampah Pulau Burung, Nibong Tebal yang kini sudah dua minggu berlarutan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau  Pinang digesa segera memohon bantuan daripada Kerajaan Pusat bagi membantu memadam kebakaran di tapak pelupusan sampah di Pulau Burung, Nibong Tebal dekat sini yang terbakar sejak 12 Januari lalu. 

Penasihat Penang Citizen Awareness Chant Group (Chant), Yan Lee berkata, api di tapak pelupusan sampah itu masih gagal dipadamkan selepas 14 hari berlalu sekali gus menimbulkan kebimbangan penduduk khususnya yang tinggal berhampiran kawasan berkenaan. 

“Mereka yang tinggal berhampiran kawasan ini merasa bimbang memandangkan asap kebakaran ini mengandungi toksik. 

“Jika kerajaan negeri memerlukan bantuan (untuk memadamkan kebakaran), mereka boleh memohonnya daripada Kerajaan Pusat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Pada 12 Januari lalu, kira-kira tujuh hektar (ha) daripada 16.2 ha tapak pelupusan sampah di Pulau Burung itu dikesan terbakar dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang.

Susulan kebakaran itu, hampir 90 buah keluarga dari dua buah kampung terjejas dan diarahkan berpindah dengan sebahagian mereka ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS). 

Dalam pada itu, Lee turut menggesa kerajaan negeri menjelaskan kepada penduduk mengenai tindakan yang telah diambil  bagi memadamkan api yang telah merebak jauh ke dalam tanah di tapak berkenaan. 

“Kerajaan negeri serta agensi berkaitan perlu lebih telus dan terbuka menyalurkan maklumat mengenai kebakaran berkenaan kepada orang awam. 

“Semua pihak menantikan maklumat daripada kerajaan negeri dan agensi berkaitan memandangkan sudah 14 hari berlalu,” katanya. 

Tambahnya, keadaan cuaca berjerebu juga dapat dilihat di sekitar Georgetown hari ini sekali gus mahu kerajaan negeri menjelaskan adakah ia berpunca daripada kebakaran di tapak pelupusan sampah itu.  -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya