Mohd Izhar pula tinggalkan Bersatu - Utusan Malaysia

Mohd Izhar pula tinggalkan Bersatu

MOHD. Izhar Ahmad mengadakan sidang akhbar mengenai peletakan jawatannya dalam Bersatu berkuat kuasa serta merta di Johor Bahru. hari ini. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terus menerima tamparan hebat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor setelah seorang lagi pemimpin mereka meninggalkan parti tersebut sebentar tadi.

Langkah itu diambil bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Datuk Mohd. Izhar Ahmad yang melepaskan tanggungjawab dalam parti dan meninggalkan Bersatu berkuat kuasa serta-merta. 

Mohd. Izhar yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri berkata, keputusan itu diambil dengan berat hati setelah parti hilang hala tuju dan gagal meneruskan perjuangan agenda penubuhan parti tersebut. 

Menurutnya, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan sahaja gagal membawa parti ke tahap yang lebih baik bahkan tidak berusaha memulihkannya selepas berpisah dengan kumpulan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Sikap ini bukan sahaja merencatkan perkembangan parti malah menjejaskan ideologi perjuangan parti sekali gus memberi kesan kepada rakyat khususnya orang Melayu dan kepentingan Islam.

“Dengan kata lain, faktor lain saya mengambil keputusan itu ialah hilang kepercayaan kepada Muhyiddin.

“Demi kestabilan politik dan rakyat negeri ini, saya menyeru semua pengundi dan penyokong saya khususnya dalam DUN Larkin untuk memberi undi kepada calon Barisan Nasional (BN),” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. 

Sebelum ini, Ketua Bahagian Bersatu Tebrau, Mazlan Bujang yang terawal mengumumkan melepaskan jawatan dan meninggalkan parti Bersatu, Khamis lalu.

Menurut Mazlan pada sidang akhbar itu, ada beberapa lagi pemimpin daripada Bersatu akan mengikut jejaknya keluar dari parti berkenaan. 

Mengulas lanjut, Izhar memberitahu, beliau tidak akan pertahankan kerusi DUN Larkin atau bertanding di mana-mana kawasan pada PRN Johor kali ini. 

Katanya, BN dibawah pimpinan Datuk Hasni Mohammad perlu diberikan peluang untuk terus mentadbir negeri tersebut demi kestabilan politik.

“BN perlu diberi laluan untuk memerintah bagi memastikan usaha untuk membantu rakyat keluar daripada pandemik dan kemelut ekonomi dapat dilaksanakan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya