Mohd. Izhar akui BN berupaya stabilkan politik - Utusan Malaysia

Mohd. Izhar akui BN berupaya stabilkan politik

PRN JOhor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Masalah ketidakstabilan politik yang melanda negara sejak beberapa tahun lalu mampu diselesaikan sekiranya Barisan Nasional (BN) kembali mendapat kuasa untuk mentadbir negara semula.

Pandangan itu disuarakan oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Datuk Mohd. Izhar Ahmad selepas mengumumkan keluar parti dan melepaskan semua jawatan dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini. 

Mohd. Izhar berkata, selain BN, tidak ada satu pun parti yang mempunyai struktur organisasi yang utuh dan jangka hayat pentadbiran lebih lama.

“Hanya BN sahajalah yang saya lihat secara jelas dari sudut keseluruhan organisasi, barisan kepimpinan dan jangka hayat dalam pentadbiran yang boleh membetulkan kerajaan sekarang, ikhlas saya cakap. 

“Saya dipanggil untuk menyertai Bersatu (bertanding) pada PRU-14 menentang BN hanya atas dasar untuk menyumbang kepada negara, selepas itu saya selesai. Namun begitu, saya berharap dapat melihat Melayu akan bersatu semula dan saya sedar bahawa idea itu hanya dapat direalisasikan oleh BN,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mohd. Izhar mengikut jejak bekas ADUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang yang mengumumkan meninggalkan parti dan jawatan sebagai Ketua Bersatu Bahagian Tebrau, pada Khamis lalu.

Dalam pada itu, Mohd. Izhar turut menyatakan pendirian untuk terus membantu UMNO agar kembali ke landskap yang lebih baik bagi perjuangan orang Melayu, agama Islam dan rakyat keseluruhannya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri membuat ketetapan untuk memberikan sokongan kepada Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad untuk terus mentadbir kerajaan negeri.

“Sepanjang saya bekerja dengannya, Hasni adalah seorang yang mempunyai visi dan berpandangan jauh. Harapnya, beliau terus diberi peluang untuk terus mengetuai kerajaan Negeri. 

“Saya percaya komitmennya, kesungguhan dan kemampuannya mampu melonjakkan ekonomi Johor sebagaimana yang dirancang sebelum ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya