ARAU : Pembentukan modal insan yang berkualiti tinggi mampu menjana produktiviti berlipat ganda selain mengangkat martabat sumber manusia kelas pertama sama ada di sektor awam mahupun swasta.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, modal insan dalam sesebuah organisasi perlu diuruskan secara cekap dan berkesan untuk mencapai matlamatnya.
Baginda bertitah, pendekatan strategik amalan pengurusan modal insan dalam aspek pemilihan, pembangunan dan pengurusan perlu diberikan perhatian sewajarnya.
“Keperluan mewujudkan tenaga sumber manusia berdaya saing adalah usaha yang harus diberi perhatian pada dekad ini.
“Modal insan secara ringkas digambarkan iaitu ‘modal’ merujuk kepada sesuatu yang menjadi ‘bahan’ keperluan untuk mencapai sesuatu. Misalnya ‘modal’ dalam perniagaan, diperlukan bagi menjana keuntungan dan membangunkan syarikat.
“Tetapi modal bagi membangunkan insan bukannya berbentuk material, tetapi lebih kepada kemampuan, kualiti diri, ilmu, disiplin dan kemahiran dalam diri individu atau pengkhidmat organisasi tersebut,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM21,000 kepada 30 asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Babul Ibadah, Kampung Chemumar di sini hari ini.
Setiap asnaf menerima RM700 yang akan diagihkan oleh amilnya, Mohd Yusof Ahmad. Mengiringi baginda, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.