Metamorfosis A. Limin - Utusan Malaysia

Metamorfosis A. Limin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAMA A. Limin mungkin tidak segah kugiran seperti Iqbal M, Sekumpulan Orang Gila mahupun Hacktick!. Mereka belum boleh dikira kugiran penarik yang efektif untuk gig-gig besar. Namun, sebagai sebuah unit muzik, mereka ada reputasi tersendiri.

Saya melihat A. Limin sebagai kugiran super. Mereka dianggotai empat pemuzik berbakat besar. Fai (dram) contohnya, memang dikenali dengan keupayaannya mempelajari teknik pelbagai instrumen dengan cepat. Ku Miro (bass) mencipta reputasi tersendiri sebagai pemain bass dan jurutera rakaman yang tajam pendengarannya.

Masuk pula dua kepala utama A. Limin, Mirul dan Limin (gitar/vokal) yang sering dikaitkan dengan kekayaan estetika. Kedua-duanya lantang apabila memberi pendapat tentang muzik dan keupayaan komposisi, mereka ada ‘sesuatu’.

Sebab itu, walaupun tidak diakui oleh mereka sendiri, A. Limin sering dilihat sebagai kugiran yang ‘berat’ dan ‘deep’.

Berat hanya tanggapan

Walau bagaimanapun, saya bersetuju dengan Limin bahawa A. Limin bukanlah kugiran yang berat, lebih-lebih lagi lagu-lagu mereka dalam album kedua. Yang berat dalam A. Limin ialah estetiknya, bukan kandungan.

Mungkin yang memberi persepsi ‘berat’ kepada mereka ialah nyanyian meleweh Limin dan keunikan paduan dua vokal lelaki dalam album pertama, Adam. Selain itu, pastilah kualiti komposisi dan susunan karya mereka.

Sebenarnya, dari satu sudut, melihat A. Limin sebagai kugiran berat boleh menandakan kekeringan kualiti dalam lapangan independen secara khusus dan industri muzik secara umum. Melihat karya yang berkualiti sedikit, terus kita anggap berat. Piawaian dan nilai ambang (threshold) kita untuk menentukan sesuatu sebagai berat itu terlalu rendah.

Jika A. Limin sudah dianggap berat, apa reaksi kita apabila mendengar Zulhezan, agaknya?

Metamorfosis
Mirul ialah kepala utama dalam album kedua A. Limin. Menurut Limin, album ini ialah ekspresi Mirul dan kebanyakan lagu juga merupakan ciptaannya.

Dalam rancangan Borak Rondivu, Mirul menyifatkan album kedua ini sebagai fasa metamorfosis A. Limin. Ada perubahan besar yang berlaku dan A. Limin sebagai kugiran sudah melepasi satu tahap umur yang baharu.

Saya sendiri dapat melihat perubahan itu, walaupun sukar untuk diungkapkan. Lagu mereka lebih ringkas, mudah didengari tetapi tidak meninggalkan asas idea dalam penciptaannya.

Mungkin cara termudah untuk menggambarkan kedewasaan A. Limin adalah dengan memetik kata-kata Buddha yang dipetik Saharil Hasrin Sanin dalam pascakata buku Lagi Cerpen-Cerpen Underground: “Kanak-kanak melihat gunung dan nampak gunung; seorang dewasa melihat gunung dan nampak bermacam perkara; seorang yang arif melihat gunung dan nampak gunung”.

Fasa Adam ialah fasa dewasa A. Limin menurut Buddha. Mereka menemui makna dalam kerumitan (complexity) tetapi album kedua ini, mereka sudah memasuki ruang kearifan: menemui makna dalam keringkasan (simplicity).

Jerih seni
Dalam Borak Rondivu, Limin menyampaikan pesan kepada penonton. Katanya, jika ternampak pemuzik atau kugiran berusaha keras menghasilkan karya, jangan was-was untuk menyokong mereka, baik dengan melayan karya atau membelinya.

Saya menjadi saksi keterujaan dan kerja keras A. Limin menghasilkan album kedua ini. Mereka melanggar banyak hal lazim melalui album ini. Ketika penghasilan album dilihat sebagai amalan ketinggalan zaman oleh beberapa pihak, mereka melancarkan album 14 lagu. Ketika platform penstriman dianggap alat kapitalis yang tidak menguntungkan pengkarya, mereka melancarkan kesemua 14 lagu melalui platform itu demi memastikan karya mereka didengari sebanyak mungkin orang.

Ada lagi beberapa hal tidak masuk akal yang dirancang mereka untuk album ini. Belum masanya untuk saya umumkan di sini. Malah, mengapa sejak awal saya rujuk album ini sebagai album kedua sahaja? Sebab mereka mahu buat hal gila juga dengan tajuk album ini. Tunggu pengumumannya.

Hafizan Mohd. dari Muzik Kita sering menulis tentang mengangkat standard muzik Malaysia. Apa yang dilakukan oleh A. Limin melalui album kedua ini boleh dikira sebagai usaha mengangkat standard muzik Malaysia. Namun, usaha tanpa sambutan pendengar tiada makna.

Buat anda yang membaca, pada Januari ini, 14 lagu dari album kedua A. Limin akan dilancarkan di platform digital. Ambil peluang ini untuk mendengarnya dan nilaikanlah ia dengan setulus hati anda. Layakkah ia menjadi piawaian baharu muzik Malaysia?

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya