PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan Mesyuarat Khas Penggal Keempat Parlimen Ke-14 bagi Dewan Rakyat pada 20 Januari akan datang bagi membincangkan perkara berkaitan bencana banjir yang melanda negara.
Menerusi kenyataan media, Ismail Sabri berkata, perbincangan itu akan merangkumi isu banjir termasuk bantuan serta persediaan pasca banjir.
“Mesyuarat Khas ini diadakan selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(3), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat bagi membincangkan perkara berkaitan kepentingan negara iaitu banjir dan pasca banjir, penyelarasan bantuan kepada Keluarga Malaysia dan perancangan jangka panjang pengurusan bencana banjir.
“Mesyuarat Khas ini penting untuk memberi ruang kepada kerajaan menjelaskan kepada rakyat mengenai tindakan dan perancangan kerajaan menangani isu-isu banjir,” katanya dalam kenyataan itu.
Pelaksanaan Mesyuarat Khas tersebut telah disembah maklum dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Mesyuarat tersebut juga adalah bertujuan untuk memberikan platform terbaik kepada ahli-ahli Parlimen mendapat maklum balas tentang isu banjir.
24 Disember lalu, ahli Parlimen pembangkang menggesa agar satu sidang khas Parlimen diadakan khusus untuk membahaskan isu banjir dan kesiapsiagaan jentera kerajaan demi ahli Keluarga Malaysia yang terkesan.
Gesaan untuk mengadakan sidang Parlimen itu adalah berdasarkan pemerhatian ramai rakyat Malaysia khususnya di kebanyakan negeri yang sangat terkesan akibat banjir, kehilangan harta benda, malah juga orang tersayang. – UTUSAN