MENYEDARI ancaman perubahan iklim disebabkan pelepasan gas rumah hijau yang tidak terkawal, konsep pembangunan lestari telah diperkenalkan supaya usaha pembangunan oleh manusia mengambil kira penjagaan alam sekitar.
Antara yang menjadi fokus ialah pengawalan pelepasan karbon dioksida sehingga mencapai sasaran pelepasan sifar bersih (Net Zero). Untuk mencapai sasaran itu, semua pihak termasuk syarikat-syarikat dari pelbagai sektor perlu menyusun strategi dan merombak operasi di sepanjang rantaian nilai bagi mengurangkan pelepasan karbon dioksida dan seterusnya mencapai sasaran pelepasan sifar bersih.
Inisiatif Sasaran Berasaskan Sains (SBTi) merupakan usaha bersama Carbon Disclosure Project (CDP), United Nations Global Compact (UNGC), World Resources Institute (WRI) dan World Wide Fund for Nature (WWF) bagi membantu syarikat-syarikat menetapkan sasaran sifar pelepasan karbon.
SBTi juga merupakan rakan kongsi peneraju untuk mengekalkan suhu pada tidak lebih dari 1.5°C. Kempen tersebut merupakan gesaan bertindak pada taraf global yang melibatkan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), perniagaan dan peneraju industri bagi menggerakkan syarikat-syarikat menuju masa hadapan 1.5°C.
Masa hadapan 1.5°C merujuk kepada sasaran yang ditetapkan dalam Perjanjian Paris untuk mengehadkan pemanasan global tidak melebihi 1.5 darjah Celcius berbanding tahap sebelum era perindustrian.
Baru-baru ini, Axiata Group Berhad menjadi syarikat tempatan terbaharu yang menandatangani komitmen untuk menetapkan sasaran jangka panjang dan berasaskan sains melalui SBTi untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih sebelum 2050.
Ini menjadikan Axiata sebagai syarikat telekomunikasi tempatan pertama yang menandatangani SBTi, menyertai lebih 50 lagi syarikat dalam industri itu dari seluruh dunia.
Langkah yang diambil Axiata adalah penting memandangkan industri telekomunikasi, walaupun bukan yang utama, turut menyumbang kepada pelepasan karbon dioksida dunia.
Menurut kajian yang diterbitkan syarikat telefon bimbit, Ericsson, industri telekomunikasi menyumbangkan kira-kira 1.4 peratus daripada keseluruhan pelepasan karbon dunia. Usaha untuk mengurangkan jumlah tersebut adalah signifikan bagi mencapai masa hadapan yang lebih hijau untuk dunia.
Komitmen `Net Zero’ merupakan titik penting dalam sejarah Axiata untuk mengorak langkah sejajar dengan syarikat-syarikat global yang lain, berganding bahu bagi menangani masalah peningkatan iklim dunia.
Walaupun pelaburan dibuat untuk memperluas rangkaian dan menambah baik liputan dengan teknologi baharu, syarikat tetap sedar akan keperluan mencegah impak alam sekitar daripada penggunaan tenaga semasa atau lebih tinggi.
Selaras dengan aspirasi Axiata untuk menjadi Juara Digital Generasi adalah penting supaya kesan jangka panjang operasinya terhadap pelanggan serta komuniti dipelihara. Komitmennya selaras dengan sasaran Perjanjian Paris, SDG 13 untuk Tindakan Iklim dan agenda GSMA untuk transformasi industri mobil bagi mencapai matlamat pelepasan sifar bersih menjelang tahun 2050.
Walaupun keperluan penduduk di serata dunia terus meningkat, tanggungjawab terhadap alam sekitar tidak boleh dikesampingkan. Tanpa bumi yang selamat untuk dihuni, segala kemajuan ekonomi mahupun teknologi adalah sia-sia. – UTUSAN