Menara pemantau APM di pantai Batu Ferringhi tumbang akibat hakisan - Utusan Malaysia

Menara pemantau APM di pantai Batu Ferringhi tumbang akibat hakisan

KEADAAN sebuah menara pemantau Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang di pantai Batu Ferringhi yang tumbang awal pagi ini dipercayai akibat hakisan pantai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Sebuah menara pemantau Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang di pantai Batu Ferringhi di sini tumbang awal pagi ini dipercayai akibat hakisan pantai.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.40 pagi itu, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada pihak hotel di Batu Ferringhi berkenaan kejadian itu akibat fenemona air pasang tinggi yang menghakis sebahagian pantai berkenaan.

“Tiada kecederaan atau kejadian tidak diingini berlaku kerana sekeliling kawasan menara pemantau tersebut telah ditutup oleh pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan APM.

“Kejadian hakisan mula berlaku pada 23 Disember lalu dan bertembung dengan fenomena air pasang besar pada awal bulan ini yang telah mempercepatkan hakisan di kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Zairil, Pejabat Kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri bersama MBPP, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), APM dan Hotel Golden Sand telah melawat tapak menara itu pagi ini.

Katanya, tindakan merobohkan menara pemantau itu akan dijalankan secepat mungkin bagi keselamatan semua pihak.

“Di samping itu, JPS akan membuat lawatan tapak untuk mengenal pasti cara pembaikan hakisan tersebut. Kami ingin mengingatkan semua pengunjung ke pantai Batu Ferringhi supaya berhati-hati dan memberi kerjasama semasa kerja-kerja pembersihan menara tersebut dijalankan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya