TELUK INTAN: Menara Teluk Intan di sini menjadi tumpuan orang ramai yang pulang ke kampung semasa cuti Tahun Baharu Cina.
Tinjauan Utusan Malaysia semalam mendapati kawasan dataran menara itu menjadi tumpuan dengan kebanjiran orang ramai yang mengambil kesempatan balik kampung pada cuti perayaan kali ini setelah lama tidak bercuti panjang disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Keadaan itu menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas di bandar Teluk Intan.
Selain beriadah di situ, pengunjung turut menikmati keindahan Menara Condong yang dihiasi dengan Tanglung sempena Tahun Baharu Cina.
Seorang pengunjung, Noosharah Mohd. Shahruddin, 34, dari Ulu Klang, Selangor, berkata, dia datang ke Menara Condong untuk membawa lima anaknya melawat kawasan tarikan pelancong terkenal itu.
Menurutnya, dia memanfaatkan cuti sekolah walaupun hanya seminggu untuk pulang awal bersama anak-anaknya ke kampung di Sungai Manik dekat sini.
“Saya singgah di sini untuk membawa anak-anak berjalan-jalan di Menara Condong ini. Keadaannya amat cantik kerana dihias Tanglung sempena Tahun Baharu Cina.
“Bagi saya keadaan menara ini sangat cantik pada waktu malam apatah lagi dihiasi Tanglung yang memeriahkan lagi sambutan Tahun Baharu Cina esok,” katanya. – UTUSAN ONLINE