Memanah berkuda tuntut kepantasan, mendebarkan - Utusan Malaysia

Memanah berkuda tuntut kepantasan, mendebarkan

ISMAIL Sukeri menunjukkan kemahiran memanah dan berkuda yang dipelajarinya dalam kursus di Pusat Ekuin Cape Cavallho, Rembau, Negeri Sembilan, baru-baru ini. UTUSAN/MOHD. SHAJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Bagai pahlawan purba.

Itu gambaran yang boleh diterjemah selepas melihat aksi pemanah yang tepat sasarannya sambil memacu kuda ketika berlari pantas.

Apa yang membanggakan, sukan sunnah Rasulullah SAW itu semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat di negara ini menerusi kursus dan latihan anjuran kelab memanah tradisional yang kini tumbuh bagai cendawan selepas hujan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ismail Sukeri, 51 berkata, dia yang masih baru menceburi sukan itu mempunyai minat aktiviti lasak yang memerlukan pergerakan pantas dan aksi mendebarkan.

“Saya minat sukan ini sejak zaman muda. Dulu tak berpeluang kerana kurangnya pendedahan dan kemudahan. Sekarang sudah ada tempat yang menyediakan latihan dan kursus intensif.

“Malah, sukan ini juga memberi kepuasan tersendiri kerana melibatkan gerakan pantas dan memerlukan fokus tinggi untuk memastikan sasaran tepat,” katanya selepas kursus memanah berkuda di Pusat Ekuin Cape Cavallho, di sini baru-baru ini.

Bagi Mohamad Herwan Mustafa, 38, dia tertarik menyertai sukan tersebut selepas melihat pelbagai aksi pemanah berkuda di media sosial.

“Saya ada asas memanah sahaja dan langsung tidak pandai menunggang kuda sebelum ini. Apabila menyertai kursus memanah berkuda, barulah saya tahu ia memang berbeza dan memerlukan fokus lebih tinggi di samping ketahanan fizikal serta mental,” jelasnya.

Dalam pada itu, jurulatih kelab memanah Zawra yang juga pemanah berkuda negara, Abu Dzar Zakaria, 36, berkata, sukan itu bukanlah bergantung sepenuhnya kepada individu semata-mata, sebaliknya ini menuntut kerjasama dan kepercayaan tinggi dengan kuda.

“Memanah berkuda ini perlu laju dan hubungan perlu ada antara pemanah dan kuda. Malah ia turut bergantung pada naluri kita.

“Bayangkan kuda bergerak laju menuju sasaran dan kita perlu bersiap sedia dengan pantas. Di sinilah kita memerlukan naluri untuk lepaskan anak panah, seterusnya reda kepada Allah SWT dengan apa jua keputusan sebaik panahan dilepaskan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya