SEREMBAN: Majlis Bandaraya Seremban (MBS) akan menjalankan kerja-kerja menaik taraf dan menambah baik kemudahan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini.
Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Razali berkata, bagaimanapun kerja-kerja memperbaiki dan menaik taraf tersebut dilakukan secara berperingkat kerana ia memerlukan belanja yang besar sekiranya ia dilakukan secara keseluruhan.
“Stadium itu di bawah penyelenggaraan oleh MBS, kami ada cadang untuk naik taraf, cuma kos agak tinggi. Bagi kegunaan untuk pasukan Negeri Sembilan dalam Liga Super akan datang, ia tiada masalah kerana syarat-syarat asas telah dipenuhi termasuk soal lampu limpah.
“Cuma isu keadaan stadium yang diakui sudah lama, kami akan buat penambahbaikan di bahagian-bahagian tertentu, tetapi tidak secara keseluruhan. Memang ada perancangan untuk naik taraf itu termasuk untuk cat semula dan memperbaiki kerusi di kawasan berbumbung,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Hadiah Cabutan Bertuah Kempen Bagi Bayaran Cukai Taksiran Dalam Talian Dengan Bayaran Penuh Sehingga 30 Jun 2022 di Wisma MBS di sini hari ini.
Baru-baru ini timbul rungutan di media sosial terutama dalam kalangan peminat dan penyokong bola sepak Negeri Sembilan mengenai keadaan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Menurut mereka, keadaan stadium yang dilihat usang, ‘berlumut’ dan ‘berkarat’ dilihat tidak sesuai dengan status Seremban sebagai sebuah bandar raya.
Keadaan tersebut juga malahan bakal memberikan ketidakselesaan kepada penyokong yang bakal membajiri stadium tersebut selepas pasukan Negeri Sembilan FC layak beraksi di Liga Super musim ini.
Sementara itu, ditanya sama ada perancangan menaik taraf melibatkan pemasangan kerusi di tempat duduk penonton, Masri berkata, cadangan untuk perkara itu juga ada diterima pihaknya.
“Ada permohonan supaya diletakkan kerusi di kawasan penonton namun kos agak besar, tetapi pada masa ini mungkin ia akan dibuat secara berfasa. Kami akan memperbaiki di bahagian berbumbung (grandstand), di situ juga sudah lama tidak diperbaiki.
“Bahagian lain akan dibuat secara berfasa dan kami akan lihat peruntukan yang ada.
Kosnya memang agak besar, untuk memperbaiki bilik persalinan juga sudah menelan belanja beratus ribu, cuba bayangkan kalau kami letakkan kerusi di semua tempat duduk penonton, buat masa ini kami ada keutamaan lain,” katanya. – UTUSAN ONLINE