PUTRAJAYA: Satu mayat wanita tanpa identiti ditemukan di tasik berhadapan Skyrides, Presint 2 di sini semalam, dalam keadaan kembung dan reput selepas dipercayai berada dalam air kira-kira dua hingga tiga hari.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, mayat tersebut ditemui seorang pengawal keselamatan warga Pakistan di Skyrides Festival Park Putrajaya dan dia kemudian memaklumkan majikannya.
“Pengawal keselamatan tersebut membuat rondaan kira-kira pukul 6.30 petang semalam serta terlihat satu patung (mayat), seterusnya memaklumkan majikannya dan beberapa orang datang untuk mengesahkan yang terapung adalah mayat.
“Berikutan itu, majikannya membuat panggilan kepada polis pada pukul 6.55 petang dan kemudian, pegawai yang bertugas bergegas ke lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, mayat tersebut berketinggian kira-kira 160 sentimeter manakala, bangsa dan usia tidak dapat dipastikan dan sewaktu ditemukan, mayat dalam keadaan terlentang mengadap ke atas serta berpakaian lengkap.
Katanya, pemeriksaan pasukan forensik mendapati, mayat telah kembung, reput, kulit mengelupas dan berbau busuk.
Mengulas lanjut, A. Asmadi berkata, pakaian yang dipakai si mati adalah blazer berwarna hitam, baju-T berwarna biru, skirt mini jeans berwarna hitam, bertali pinggang berlogo Versace serta tidak memakai kasut atau selipar.
“Barang milikan yang dijumpai pada mayat adalah tiga bentuk cincin jenis perak di tangan kanan iaitu di jari telunjuk, jari hantu dan jari kelingking serta satu gelang tangan jenis perak di pergelangan tangan kanan.
“Semakan dapati tiada rekod orang hilang dilaporkan dalam masa terdekat, manakala identitinya juga belum dikenal pasti. Mayat kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Putrajaya pukul 9.40 malam tadi untuk dibedah siasat, namun, tarikh dan waktu bedah siasat belum ditentukan oleh pihak hospital,” ujarnya.
Tambah beliau, kes tersebut diklasifikasi awal sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu laporan bedah siasat serta pengesanan identiti dan waris melalui rekod laporan orang hilang.
Polis mohon kerjasama orang awam terutama keluarga yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian serta mangsa supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya di talian 0388862145 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Hafiza 019-8926572. -UTUSAN ONLINE