PETALING JAYA: Aktiviti meminjam wang daripada ah long atau ceti haram terus menjadi pilihan individu yang mengalami masalah kewangan dan desakan hidup.
Ini kerana bagi peminjam, melakukan pinjaman daripada ah long ini lebih mudah diperoleh meskipun tindakan itu akan mengundang padah.
Perkara itu dapat dilihat apabila sebanyak 1,784 kes ah long diterima Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) , Bukit Aman sejak 2020 sehingga tahun lalu melibatkan pinjaman lebih RM8.8 juta.
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Kamarudin Md. Din berkata, daripada jumlah itu sebanyak 943 kes ah long direkodkan pada 2020 dengan pinjaman bernilai RM4.93 juta.
Kata beliau, sebanyak 841 kes pula dicatatkan pada tahun lalu dengan nilai pinjaman yang dilaporkan adalah RM3.89 juta.
“Kecenderungan meminjam daripada ah long mencatatkan penurunan sejak kebelakangan ini namun aktiviti itu masih berlaku.
“Namun begitu, pihak JSJK sama sekali tidak mendiamkan diri dan ia dapat dilihat apabila sebanyak 2,084 operasi sejak 2020 sehingga tahun lalu telah dilaksanakan di seluruh negara dalam membanteras kegiatan ini,” katanya di sini semalam.
Mengulas lanjut kata Kamarudin, dalam tempoh sama, sebanyak 2,123 tangkapan telah dilakukan membabitkan ahli sindiket ah long ini.
“Sepanjang 2020, pihak JSJK telah melaksanakan sebanyak 1,085 operasi bagi membanteras kes-kes ah long dan seramai 1,072 individu telah berjaya ditahan.
“Bagi tahun lalu pula, sebanyak 999 operasi telah dijalankan JSJK dan sebanyak 1,051 individu telah ditahan kerana disyaki terlibat dengan kegiatan tersebut,” jelasnya.
Dalam pada itu, Kamarudin turut mengingatkan kepada orang ramai untuk sama sekali tidak terlibat dengan aktiviti pinjaman wang dengan ah long.
Jelas beliau, sekiranya ingin membuat pinjaman wang, orang ramai adalah dinasihatkan untuk berurusan dengan institusi perbankan mahupun syarikat pinjaman wang berlesen bagi memastikan hak dan kepentingan peminjam sentiasa dilindungi di bawah undang-undang.
Kamarudin memberitahu, bagi mendapatkan senarai syarikat pinjaman wang berlesen, orang ramai boleh merujuk kepada pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Namun, perlu diingat, tindakan peminjam untuk membuat pinjaman dengan ah long boleh mendatangkan pelbagai implikasi yang tidak diingini antaranya peminjam akan menerima kadar faedah yang terlalu tinggi hingga mengakibatkan peminjam menanggung beban yang berterusan.
“Peminjam juga akan menerima gangguan secara mental dan fizikal apabila gagal untuk membuat bayaran atau gagal untuk menuruti kehendak ah long. Malah gangguan ini boleh mengakibatkan peminjam mengalami kemurungan, ketakutan, tekanan perasaan dan seumpamanya.
“Lebih teruk, keluarga peminjam juga akan menerima ancaman keselamatan yang boleh membawa kepada keruntuhan rumahtangga dan menggugat keharmonian keluarga tersebut,” katanya.
Mingguan Malaysia sebelum ini melaporkan kira-kira 7,000 individu terjebak dengan pinjaman tanpa lesen atau ah long, dengan 80 peratus daripadanya adalah orang Melayu.
Lebih menggerunkan, bilangan peminjam baharu mencapai 450 hingga 650 sebulan, malah ada peminjam yang mendapatkan khidmat 20 hingga 30 orang ah long dalam tempoh tersebut dalam konteks ‘gali lubang, tutup lubang’.
Jalan terakhir yang dianggap menjerat diri itu jadi pilihan peminjam selepas permohonan untuk mendapatkan pinjaman bank ditolak atas beberapa alasan antaranya tidak menepati syarat.
Antara mereka yang mendapatkan pinjaman ah long terdiri daripada kontraktor, ahli perniagaan dan orang perseorangan.-UTUSAN ONLINE