MELAKA: Kesukaran pengguna untuk mendapatkan minyak masak peket satu kilogram (kg) di pasaran telah dimanfaatkan kelompok tertentu dengan menjual barangan bersubsidi itu me-lalui platform beli-belah dalam talian.
Dijual dengan harga lebih sekali ganda daripada apa yang ditetapkan kerajaan, meskipun mahal namun ia tetap mendapat reaksi positif pengguna.
Ini kerana tanda harga yang diletakkan peniaga dalam talian tetap lebih murah berbanding harga minyak botol yang melambung di pasaran.
Pemerhatian dan semakan Utusan Malaysia terhadap sebuah laman sesawang e-dagang terkemuka mendapati, rata-rata penjual menggunakan konsep jualan secara kombo, seperti minyak peket digandingkan dengan barangan lain seperti plastik sampah, mi segera dan sebagainya.
Seorang penjual beralamat di Melaka menawarkan lebih 14 pilihan kepada pengguna dengan harga jualan antara RM15 hingga RM36 bagi setiap set, tidak termasuk kos penghantaran.
Satu set terdiri daripada sekurang-kurangnya tiga peket minyak masak bersubsidi, di sam-ping satu barangan lain seperti plastik sampah, beg plastik, bihun dan pelbagai lagi barangan keperluan harian.
Jika dinilai semula, harga untuk tiga peket minyak masak bersubsidi berdasarkan Akta Kawalan Bekalan 1961 adalah RM7.50 (RM2.50 sepeket).
Justeru, adalah tidak relevan ia dijual pada harga sedemikian, walaupun ditawarkan secara kombo bersama dengan bara-ngan lain.
Cara sedemikian dilihat seolah-olah cuba menyembunyikan harga jualan sebenar untuk satu unit barang kawalan berkenaan.
Ketika dihubungi Utusan Malaysia menerusi ruangan sembang yang disediakan, peniaga memaklumkan, minyak masak akan dihantar dalam tempoh tujuh hari kerana pihaknya sedang menunggu stok.
“Minggu depan minyak sampai, kena pre-order (pratempah). Kita tiada kedai fizikal, hanya jual dalam talian sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaafar memaklumkan, pihaknya menyiasat perkara tersebut dan telah me-minta penjelasan daripada syarikat pengendali e-dagang terlibat.
Beliau berkata, hasil maklumat awal yang diperoleh, peniaga didapati mendaftarkan alamat perniagaan palsu yang tidak wujud.
“Setakat ini KPDNHEP tidak menerima sebarang laporan berhubung taktik sebegini. Cuma kalau ia dijual mengikut harga yang ditetapkan, tidak menjadi kesalahan minyak masak bersubsidi dijual secara dalam talian,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE