TAWAU: Memasuki hari ketiga pencarian, akhirnya mangsa terakhir tiga beradik yang hilang dalam kejadian bot karam pada Sabtu ditemukan berhampiran Sungai Membalua hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) daerah, Julius John Stephen Jr berkata, mangsa ketiga, Rahena Muhaimin, 20, ditemukan lemas oleh anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Sabah pada pukul 8.34 pagi tadi.
Pasukan bomba bersama agensi penyelamat lain membawa mayat mangsa ketiga ini ke pusat operasi dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Semalam, dua mayat adik mangsa iaitu Jaidi Muhaimin yang berusia lima tahun dan Saiful Muhaimin, 15, berjaya ditemukan oleh penduduk kampung di pesisir pantai dan di perairan Tinagat.
Tiga beradik ini dilaporkan hilang pada pukul 4.45 petang Sabtu apabila bot yang dinaiki bersama enam individu lain karam ketika dalam perjalanan pulang dari Batu 4 Kampung Rawa-Rawa ke Kampung Batu Payung.
Namun, enam mangsa berjaya diselamatkan semalam dan tiga beradik itu dilaporkan hilang.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan dengan menggunakan aset-aset pelbagai agensi keselamatan dan 20 bot orang kampung.- UTUSAN ONLINE