KUALA TERENGGANU: Bilangan mangsa banjir di Terengganu bertambah kepada 451 orang susulan pembukaan satu lagi pusat pemindahan sementara (PPS) di Dungun, awal pagi ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berkata, seramai 18 mangsa ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Minda yang baru dibuka itu sekali gus menjadikan keseluruhan yang terjejas di daerah berkenaan ialah 408 orang.
“Setakat pukul 12 tengah hari ini, tiga PPS beroperasi di Dungun bagaimanapun bilangan mangsa banjir di Dewan Orang Ramai Kampung Shukur dan Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja kekal 225 orang dan 165 orang seperti semalam.
“Di Kemaman, jumlah mangsa di PPS Surau Kampung Ban Ho turut tidak berubah dengan seramai 43 orang daripada lapan keluarga,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut sekretariat itu, cuaca semasa kini hujan renyai-renyai di beberapa kawasan.
Sementara itu, pemerhatian di laman web Public Infobanjir mendapati, empat stesen sungai kini mencatatkan paras amaran.
Stesen itu ialah di Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja dan Kuala Jengai di Dungun di samping Sungai Besut di Jambatan Keruak (Besut) dan Sungai Nerus di Kampung Langkap (Setiu). – UTUSAN ONLINE