SEREMBAN: Bilangan mangsa banjir di tiga buah daerah di Negeri Sembilan iaitu Tampin, Kuala Pilah dan Jempol menunjukkan penurunan dan setakat pukul 2 petang tadi, seramai 1,769 orang masih ditempatkan di 20 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka.
Laporan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Negeri Sembilan memaklumkan, PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Sungai Kelamah di Tampin masih menempatkan jumlah mangsa teramai iaitu 516 orang daripada 128 buah keluarga.
Ia diikuti PPS Dewan Semai Bakti Felda Pasir Besar dengan seramai 173 orang daripada 68 buah keluarga.
Secara keseluruhan, seramai 1,243 orang mangsa banjir masih ditempatkan di 11 buah PPS yang berada di daerah Tampin.
Di Jempol pula, seramai 374 mangsa terjejas banjir masih berada di tujuh buah PPS yang dibuka sementara 152 orang masih berada di dua buah PPS di daerah Kuala Pilah.