SEREMBAN: Mangsa banjir di tiga buah daerah di Negeri Sembilan iaitu Tampin, Jempol dan Kuala Pilah yang kini berada di pusat pemindahan sementara (PPS) kini meningkat kepada seramai 1,336 orang setakat pukul 9 malam tadi.
Menerusi laporan yang dikeluarkan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Negeri Sembilan, sebanyak 13 buah PPS telah dibuka di tiga buah daerah tersebut sejak awal pagi tadi.
Tampin mempunyai PPS terbanyak apabila tujuh buah PPS telah dibuka dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kelamah menempatkan bilangan mangsa teramai iaitu 751 orang daripada 194 buah keluarga.
Ia diikuti oleh PPS Dewan Hala Cara yang menempatkan seramai 92 orang mangsa terjejas banjir daripada 18 buah keluarga.
Di Jempol pula, sebanyak empat buah PPS dibuka dengan SK Felda Palong 1 menempatkan seramai 96 orang mangsa yang melibatkan 19 buah keluarga ketika ini.
Di Kuala Pilah, dua buah PPS telah dibuka termasuk Dewan Desa Dangi yang kini menempatkan seramai 83 orang mangsa daripada 21 buah keluarga.-UTUSAN ONLINE