Malaysia terima sejuta dos vaksin sumbangan UAE - Utusan Malaysia

Malaysia terima sejuta dos vaksin sumbangan UAE

SAIFUDDIN Abdullah bersama Nouf Ibrahim Ali Rasheed al-Kuwaiti pada majlis penyerahan vaksin Covid-19 jenis Sinopharm sumbangan kerajaan UAE di KLIA, Sepang, Selangor. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kerajaan Malaysia bakal menerima sejumlah sejuta dos vaksin Covid-19 jenis Sinopharm sumbangan kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam dua fasa penghantaran.

Fasa pertama yang diserahkan pada hari ini melibatkan sebanyak 500,000 dos manakala untuk baki berikutnya pula dihantar negara berkenaan dalam masa dua minggu lagi.

Sumbangan tersebut diterima Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dalam acara gimik ringkas penyerahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari in yang disampaikan Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar UAE di Kuala Lumpur, Nouf Ibrahim Ali Rasheed al-Kuwaiti, mewakili Duta Besar, Khalid Ghanim Mohammad Alghaith.

Vaksin keluaran firma farmaseutikal milik kerajaan China, Institut Produk Biologi di Beijing itu dibawa dengan penerbangan komersial EK 346 pesawat syarikat kebangsaan Emirates dan selamat tiba di KLIA terus dari Dubai kira-kira pukul 2.30 petang sebelum disambut Saifuddin serta para pegawai kanan Kementerian Luar dan Kementerian Kesihatan.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala), Kementerian Luar, Datuk Amran Mohamed Zin dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Kesihatan, Datuk Harjeet Singh Hardev Singh.

Bercakap pada sidang akhbar, Saifuddin merakamkan penghargaan kepada UAE atas keprihatinan negara itu dalam mengekang wabak Covid-19.

“Saya juga menjunjung kasih kepada Putera Mahkota Emiriah Abu Dhabi, Sheikh Mohamed Zayed Sultan Al-Nahyan atas inisiatif baginda yang menyampaikan bekalan vaksin ini. Ini merupakan sumbangan vaksin pertama UAE kepada Malaysia, namun negara Asia Barat tersebut pernah menyampaikan bekalan perubatan khas bagi pengawalan wabak berkenaan.

“Bantuan itu meliputi sejumlah 20,000 unit alat ujian kendiri pantas pada Mac 2020 disusuli dua bulan kemudiannya membabitkan cecair pembasmi kuman tangan yang seberat tujuh tan. Bahan pencuci itu telah diagihkan kepada kesemua diplomat Wisma Putra termasuk petugas barisan hadapan di pejabat misi perwakilan Malaysia di seluruh dunia. Penyampaian sumbangan vaksin kali ini membuktikan hubungan kukuh antara dua negara Islam dan kita berharap jalinan tersebut akan terus berlanjutan pada masa depan,” tambah beliau.

Sementara itu, Nouf turut menyifatkan penghantaran bekalan vaksin kerajaan UAE itu menyerlahkan semangat setiakawan dengan Malaysia sebagai negara sahabat dan sekutu rapatnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya