Makkal Sakti mahu kerusi dalam PRN Johor - Utusan Malaysia

Makkal Sakti mahu kerusi dalam PRN Johor

R. S. THANENTHIRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Parti Makkal Sakti Malaysia (Makkal Sakti) berharap diberi peluang untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor atas tiket Barisan Nasional (BN) sebagai penghargaan kepada kesetiaan mereka kepada gabungan itu.

Presidennya, Datuk Seri R. S. Thanenthiran berkata, pihaknya telah membuat permohonan itu kepada pucuk pimpinan tertinggi BN sebelum ini.

Katanya, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut memberi indikasi positif berhubung perkara itu sebelum ini.

“Dalam perjumpaan beliau dengan Makkal Sakti lalu, Ahmad Zahid turut berharap agar parti politik ‘Friends of BN’ diberi peluang untuk bertanding sama dalam PRN Johor atas kegigihan dan kesetiaan mereka. Berapa banyak kerusi atau kerusi mana itu kita tidak tetapkan dan tiada syarat langsung, apa yang kami mahu hanyalah peluang untuk sama-sama berkhidmat kepada rakyat,” katanya selepas majlis perjumpaan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bersama Makkal Sakti di Hotel Granada, di sini hari ini.

Sementara itu, Thanenthiran menjelaskan, mereka terus setia bersama BN walaupun terdapat beberapa tawaran kerjasama daripada parti lain selepas BN mengalami kekalahan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Selepas BN tewas, banyak parti meninggalkan gabungan itu, sementara banyak juga tawaran diberi kepada kami, namun kami tetap setia bersama BN sama ada menang atau kalah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Thanenthiran berkata, Makkal Sakti sedia menggerakkan seramai 27,000 ahli parti itu di Johor untuk bersama-sama berkempen bagi memenangkan BN dalam PRN Johor akan datang.

“Jentera kami sudah membuat persiapan untuk sama-sama berkempen dan mengajak masyarakat khususnya kaum India di negeri ini agar kembali memberi sokongan kepada BN,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya