KANGAR: Para majikan sama ada awam atau swasta diingatkan tidak leka dan membuat pemantauan berterusan kepada kakitangan masing-masing khususnya mereka yang tinggal dan berulang dari kawasan berisiko bagi mengelak penularan Covid-19.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pencegahan berterusan itu perlu meskipun kadar jangkitan Covid-19 di Perlis semakin terkawal kebelakangan ini.
Titah baginda, di tempat kerja, majikan perlu terus memantau tahap kesihatan semua kakitangan dan menjalankan saringan gejala setiap hari di pintu masuk bagi memastikan hanya mereka yang sihat sahaja hadir bertugas.
“Para majikan juga hendaklah memastikan semua kakitangan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) dan mengamalkan norma baharu di tempat kerja terutamanya semasa mereka makan di pantri dan sepanjang majlis atau program yang diadakan oleh organisasi masing-masing,” titah baginda selepas berkenan berangkat merasmikan kedai makan ‘De’ Buloh Cafe’ yang diusahakan Saufik Redzuan Subri, 39 di Batu 1 3/4 Jalan Santan di sini hari ini.
Mengiringi baginda, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd. Nazim Mohd. Noor.
Saufik Redzuan sebelum ini, pernah menerima peruntukan peralatan memasak bernilai RM3,190 hasil sumbangan projek inisiatif sosio-ekonomi asnaf MAIPs.
Terdahulu baginda turut berkenan singgah di kediaman tiga asnaf terpilih bagi menyampaikan agihan zakat MAIPs dengan masing-masing menerima RM700.
Sementara itu, baginda menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam usaha menangani wabak Covid-19.
“Peranan mereka di barisan hadapan terutamanya wajar diberi pujian. Begitu juga semua pihak yang memainkan peranan penting di barisan belakang,” titah baginda. – UTUSAN