PETALING JAYA : Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) memerlukan bajet sebanyak RM4 juta untuk melancarkan segala perancangan dan penganjuran pertandingan pada tahun ini.
Presiden MABA, Datuk Lee Tian Hock berkata setakat ini pihaknya telah memiliki dana sebanyak RM2.2 juta dan hanya memerlukan RM1.8 juta lagi bagi mencapai bajet yang diperlukan.
“Perancangan dan jadual segala aktiviti serta pertandingan sudah diaturkan dengan bajet yang diperlukan adalah sekitar RM4 juta.
“Ketika ini MABA sudah pun mempunyai dana sebanyak RM2.2 juta dan menjadi tanggungjawab saya sebagai presiden untuk mencari lagi dana berjumlah RM1.8 juta untuk skuad bola keranjang negara,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa MABA kali kelima.
Dalam perkembangan yang sama, Tian Hock turut memaklumkan bahawa MABA kini sedang berusaha untuk merealisasikan hasrat membawa pemain naturalisasi dengan beliau sudahpun bertemu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Faizal Azumu untuk membincangkan mengenai perkara itu.
Bagaimanapun Tian Hock menegaskan perkara itu mungkin tidak dapat direalisasikan dalam masa terdekat ini dan masih perlu melalui proses yang panjang.
“Saya harap hasrat untuk mengambil pemain naturalisasi ini dapat direalisasikan nanti dan jika berjaya mungkin kita boleh memikirkan kejayaan di peringkat Asia.
“Tapi sekarang ini fokus utama adalah untuk mempersiapkan skuad negara ke Sukan Sea terlebih dahulu. Itu yang penting,” katanya.
Ketika ditanya mengenai sasaran untuk pasukan bola keranjang negara pada Sukan SEA Hanoi yang akan berlangsung pada Mei ini, Tian Hock berkata MABA mensasarkan sekurang-kurangnya satu pingat gangsa bagi mengulangi pencapaian tiga tahun lalu di Filipina.
Untuk persiapan skuad negara, MABA akan menganjurkan Kejohanan Jemputan Antarabangsa pada April ini sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA Vietnam dengan Filipina masih lagi dianggap sebagai pencabar utama.