Longgokan kayu selepas banjir bukan kerana pembalakan - Utusan Malaysia

Longgokan kayu selepas banjir bukan kerana pembalakan

KEADAAN Taman Eko Rimba Jeram Toi yang musnah akibat kejadian tanah runtuh serta banjir di Jelebu, Negeri Sembilan. - UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kejadian banjir yang turut membawa bersama longgokan sisa pokok kayu yang berlaku di Negeri Sembilan baru-baru ini bukanlah disebabkan daripada aktiviti pembalakan.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, tiada sebarang aktiviti pembalakan berlaku sama ada di kawasan Jeram Toi ataupun di Gunung Berembun dan longgokan kayu daripada banjir tersebut hanyalah merupakan daripada sisa kayu reput.

“Tidak berlaku aktiviti pembalakan dan kayu-kayu tersebut hanyalah kayu yang reput dan sebab itu kita dapat selesaikan (pembersihan) dalam masa dua hari sahaja.

“Saya jemput semua, daripada kita hanya bercakap, boleh datang dan lihat sendiri apa yang berlaku di Gunung Berembun, ambil gambar dan nilaikan sendiri sama ada kawasan itu kawasan pembalakan ataupun apa yang berlaku adalah kejadian alam.

“Di tempat lain saya tidak tahu, bagaimanapun di Negeri Sembilan bukan isu pembalakan yang berlaku,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Sementara itu, hasil lawatan beliau ke Jeram Toi di Jelebu semalam yang musnah sama sekali dalam kejadian tanah runtuh dan banjir pada 19 Disember lalu, Aminuddin berkata, taman eko rimba itu akan mengambil masa lama untuk dibaik pulih sebelum ia boleh kembali dikunjungi orang ramai.

“Jeram Toi itu satu tempat yang menarik tetapi sekarang kita hilang keseluruhannya, bangunan di sana juga sudah tiada dan apa yang tinggal hanya batu-batu dan aliran anak sungai yang baharu. Kerajaan negeri akan memajukan semula kawasan berkenaan dengan lebih baik dan teratur dan kekal menjadi tarikan pelancongan di negeri ini.

“Landskap di situ juga akan disusun semula termasuk bangunan yang akan diletakkan lebih teratur di samping keindahannya dapat dijaga dengan lebih baik, insya-Allah kelak ia akan lebih menarik,” katanya.

Aminuddin berkata, pembangunan semula Jeram Toi dijangka mengambil sedikit masa dan akan mengikut fasa dengan kos awal dianggarkan mencecah sekitar RM3 juta.

Sementara itu, mengulas isu jambatan runtuh yang menghubungkan laluan ke tanah perkuburan Islam di Kampung Sungai Rotan di Jelebu, Aminuddin berkata, kerja-kerja tanah bagi pembinaan jambatan kedua telahpun dimulakan.

Jelas beliau, kerja-kerja pembaikan terhadap jambatan pertama telahpun siap pada 26 September tahun lalu namun mengalami hakisan teruk ekoran kejadian banjir pada 19 Disember yang lalu.

Tambah Aminuddin, berhampiran kampung tersebut terdapat dua buah tanah perkuburan terletak berhampiran yang boleh digunakan dan tidak perlu melalui jambatan roboh tersebut.

Semalam tular di media sosial, ekoran jambatan yang runtuh tersebut, penduduk kampung terpaksa meredah sungai untuk mengusung jenazah ke tanah perkuburan Islam yang terdapat di seberang sungai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya