LOKO mahu lupakan memori lama, tumpu wajah baharu. Dulu-dulu dah habis - Utusan Malaysia

LOKO mahu lupakan memori lama, tumpu wajah baharu. Dulu-dulu dah habis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perpecahan kugiran itu bukanlah hal yang asing. Di mana-mana saja ia berlaku dan dalam banyak hal, ia tidak dapat dielakkan. Tidak serasi, perlu tumpu hal lain; ini semua alasan-alasan yang sering kita dengar apabila satu-satu kugiran itu berpecah.

Yang kurang manis dalam hal perpecahan kugiran ini ialah kontroversi-kontroversi yang timbul selepasnya. Malaysia terkenal dalam hal ini. Di Malaysia, kugiran boleh berpecah menjadi dua kugiran berbeza, tapi dengan nama yang sama.

Tahun lalu, ada kontroversi yang memalit kugiran LOKO. Mereka tidak berpecah pun, cuma dua anggota mereka menarik diri dari kugiran. LOKO masih berdiri dengan dua anggota sehingga hari ini dan dalam masa terdekat, mungkin, akan mengumumkan anggota baharu.

Namun, penarikan diri salah seorang anggotanya mengundang sedikit kontroversi apabila ada tohmahan yang dilemparkan kepada anggota lain. Ini mungkin antara sebilangan kecil kebaikan apabila kugiran independen tidak begitu dikenali di peringkat nasional. Kalau mereka popular macam Search, mungkin dah banyak peminat dan media mengapi-apikan kontroversi yang kecil itu.

Jawab dakwaan

Ada banyak dakwaan yang ditujukan kepada dua anggota LOKO yang tinggal, iaitu Acap (vokal/gitar) dan Alep (gitar). Antaranya bersifat peribadi seperti tidak beri komitmen dan tidak beri penghargaan kepada anggota lain. Yang peribadi biar mereka selesai sendiri.

Cuma yang tidak manis, ada dakwaan tentang pembahagian royalti. Hal wang kita jangan buat main. Ia serius dan boleh membawa kepada ketidakadilan serta penindasan.

Hampir setengah tahun saya menunggu LOKO bersedia menjawab dakwaan yang dilemparkan. Waktu awal kontroversi ini timbul, saya hormati permintaan pengurusnya supaya mereka boleh bersedia dengan semakan undang-undang dan perjanjian.

Apabila waktunya tiba untuk saya bertemu mereka, terjawablah segala teka-teki. Isu itu boleh disimpulkan sebagai salah faham sahaja, apabila pihak yang mendakwa tidak menyedari perjanjian awal yang wujud antara mereka.

“Memang sejak awal, dah ada hitam putih dan perjanjian bahawa apa-apa hasil daripada platform penstriman akan masuk ke akaun LOKO sebagai kugiran dan semua lagi ialah milik LOKO. Secara individu, kami memang tidak pernah dapat apa-apa.

“Dari segi royalti pula, masalah berlaku apabila komposer sendiri tidak berdaftar dengan Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP). Kami sendiri tidak boleh buat apa-apa kerana data komposer dan lagu itu memang tidak ada dalam simpanan MACP,” jelas Acap.

Walau bagaimanapun, menurut Acap dan Alep, perjanjian baharu telah pun dibentuk dengan bantuan peguam yang dilantik dan urusan royalti tersebut telah diselesaikan secara baik.

“Kami selama ini pun memang tidak pernah hebahkan tentang isu ini. Ketika dakwaan itu dikeluarkan pun, kami sedang dalam perbincangan dengan peguam,” katanya.

Jalan terus

Walau apa yang terjadi, LOKO masih aktif dan akan terus aktif. Dengan bantuan dua pemuzik pengiring, Iman (bass) dan Hisyam (dram), kugiran yang terkenal dengan lagu Pujaan Hati sudah membuat persembahan dalam beberapa acara baru-baru ini, termasuk di Pesta Luas dan sebagai kugiran jemputan Separuh Akhir Anugerah Lagu Indie (ALI).

Mereka juga telah melancarkan video muzik untuk lagu baharu mereka, Kritikan selain melancarkan beberapa lagu baharu dalam bentuk demo akustik di Spotify.

“Mungkin selepas ini muzik LOKO akan kurang keras berbanding sebelumnya. Sebab aku dengan Acap, bunyi kami lebih kepada rock yang ringan.

“Untuk lagu-lagu yang seterusnya, bunyi LOKO yang baharu dengan album Mata Kaca dulu akan jauh berbeza. Lagu Kritikan itu boleh dianggap sebagai fasa peralihan kami ke bunyi yang seterusnya,” jelas Alep.

Mereka juga akan memberikan perhatian lebih kepada proses prapenerbitan bagi memastikan kualiti lagu-lagu seterusnya dapat mencapai tahap yang diinginkan.

Buat peminat-peminat LOKO, anda boleh bersedia untuk menerima wajah baharu mereka tidak lama lagi dengan rilisan pertama dijangka dilancarkan sebelum April. Buat masa ini, layan dahulu demo akustik Pemuda, Sarjan Faris dan Aiskrim di Spotify.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya