Lokman perlu padamkan ‘posting' Mohd. Na'im dalam 24 jam - Utusan Malaysia

Lokman perlu padamkan ‘posting’ Mohd. Na’im dalam 24 jam

LOKMAN NOOR ADAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam perlu memadam kesemua hantaran (posting) di akaun Facebook dan YouTube miliknya yang mengaitkan Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar dengan dakwaan salah laku seksual dalam tempoh 24 jam bermula hari ini.

Ia selepas Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Rozana Ali Yusoff membenarkan permohonan injunksi interim ex-parte (sebelah pihak) oleh Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) itu dalam prosiding yang dijalankan secara Zoom hari ini.

Peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Mohd. Na’im ketika dihubungi media turut memaklumkan Lokman atau ejennya tidak boleh menerbitkan, berkongsi atau menyiarkan semula hantaran-hantaran (posting) atau pernyataan berbaur fitnah tersebut dalam apa jua cara sekalipun.

“Mahkamah turut menetapkan 7 Februari ini untuk pendengaran berhubung permohonan injunksi secara inter-parte (kedua-dua pihak). Tiada sebarang perintah dibuat berhubung kos,” katanya.

Pada 17 Januari lalu, Mohd. Na’im memfailkan saman fitnah terhadap Lokman dan menuntut ganti rugi sebanyak RM30 juta berhubung tujuh hantaran (posting) yang dibuat defendan (Lokman) di antara 10 dan 14 Januari lalu di laman sosial milik defendan.

Hantaran-hantaran tersebut antara lain mengaitkan plaintif, Mohd. Na’im dengan dakwaan salah laku seksual terhadap beberapa wanita termasuk seseorang yang bergelar Datin.

Lokman turut mendakwa perilaku Mohd. Na’im yang tidak bermoral itu telah menyebabkan negara mengalami pelbagai musibah.

Kes saman itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 21 Februari ini.

Oleh itu, plaintif memohon satu perintah agar defendan memadamkan kesemua hantaran yang dibuat di Facebook dan YouTube serta perintah injunksi bagi menghalang Lokman atau ejennya daripada mengulangi kenyataan berbaur fitnah itu dalam apa jua cara sekalipun.

Mohd. Na’im turut menuntut agar Lokman membuat permohonan maaf terhadap plaintif dan akan disiarkan ke laman-laman sosial milik defendan dan juga portal berita serta media tempatan.

Plaintif juga memohon satu ganti rugi am yang akan ditaksirkan oleh mahkamah, ganti rugi teladan, teruk dan punitif masing-masing sebanyak RM10 juta beserta faedah sebanyak lima peratus atas jumlah ganti rugi bermula dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh.

Turut dimohon ialah kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya