LIVERPOOL: Biarpun hanya berdepan 10 pemain selama lebih sejam pada separuh akhir pertama Piala Liga namun Liverpool masih gagal menjinakkan Arsenal di Anfield, semalam dan ia memberi bayangan bahawa Reds ‘tidak boleh hidup’ tanpa Mohamed Salah.
Pengendali Reds Jurgen Klopp menegaskan dia tidak percaya ada mana-mana pasukan yang tidak akan merindui kelibat Salah dan Sadio Mane dalam pasukan kerana kedua-dua bintangnya itu memiliki sentuhan penyudah berbisa.
“Mana-mana pasukan akan merindui Salah, Mane dan (Naby) Keita. Bolehkah kami bersedia untuk itu? saya rasa tidak.
“Kami sudah tahu mengenainya (tanpa Salah dan Mane) sejak sekian lama. Kami menggunakan apa yang ada pada malam ini (semalam), dan mereka sebenarnya masih mampu beraksi dan menjaringkan gol.
Bagaimanapun, peluang masih terbuka buat kedua-dua pasukan mara ke final berdepan Chelsea di Stadium Wembley pada 27 Februari ini.
“Kami tidak cukup kreatif dan tidak melakukan beberapa perkara dengan cukup baik dan akhirnya kedudukan masih 0-0.
“Kami tidak fikir keputusan ini merupakan pengakhiran buat kami. Kami akan mencubanya lagi pada minggu depan,” kata Klopp.
Salah mewakili Mesir, Mane (Senegal) dan pemain tengah, Keita (Guinea) dan ketika ini mereka sedang mengharungi tugasan antarabangsa dalam Piala Negara-Negara Afrika (AFCON).
Dalam aksi itu, layangan kad merah yang diterima Granit Xhaka pada minit ke-24 mendorong Mikel Arteta beralih kepada formasi 5-3-1 dan ia berjaya mengekang jentera serangan Liverpool.
Reds memiliki 78.1 peratus penguasaan bola dan 17 percubaan berbanding hanya tiga dilakukan Gunners namun hanya percubaan Curtis Jones pada masa kecederaan yang benar-benar menguji penjaga gol Gunners Aaron Ramsdale.
Kesilapan penjaga gol Arsenal itu turut gagal dimanfaatkan Takumi Minamino pada minit ke-90 biarpun pintu gol sudah terbuka luas. – AGENSI