KUALA PENYU: Hasrat seorang lelaki keluar memukat ikan bertukar menjadi tragedi apabila dia dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas, di pantai berhampiran Kampung Lambidan, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.50 pagi tadi, mangsa, Sharizan Sani, 39, dilaporkan hilang semasa sedang memukat ikan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) daerah, Awang Mohd Sabree berkata, pihakya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 8.59 pagi dan sepasukan pegawai dan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak 30 kilometer dari BBP Kuala Penyu.
Sebaik sahaja tiba di lokasi, mereka dimaklumkan seorang lelaki hilang dan dikhuatiri lemas semasa sedang melakukan aktiviti memukat.
Kemudian pasukan bomba mula menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Jelas beliau, anjing pengesan daripada unit K9 turut digerakkan bagi membantu mengesan mangsa hilang yang dikhuatiri lemas.- UTUSAN ONLINE