PETALING JAYA: Seramai 2.576 juta pengundi daripada keseluruhan 2.599 juta pengundi berdaftar layak mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijangka diadakan pada bulan hadapan.
Berdasarkan statistik terkini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sejumlah 22,536 orang adalah pengundi awal meliputi 10,958 anggota tentera dan pasangan manakala 11,578 orang adalah anggota polis dan pasangan mereka.
Malah, susulan pelaksanaan automatik Undi18, jumlah pengundi di Johor mencatatkan peningkatan kira-kira 28 peratus dengan penambahan 749,731 pengundi berusia 18 tahun ke atas.
Selain itu, berdasarkan maklumat yang diwartakan SPR pada 17 Januari lalu, jumlah pengundi tidak hadir luar negara adalah 376 orang di semua Dewan Undangan Negeri (DUN).
SPR dijangka mengumumkan tarikh PRN Johor selepas mengadakan mesyuarat khas pada 9 Februari ini.
Pengundi boleh membuat semakan awal melalui portal semakan daftar pemilih https://pengundi.spr.gov.my., aplikasi MySPR Semak dan Hotline SPR menerusi talian 03-88927018.-UTUSAN ONLINE