Lebih 10,000 ikan patin hilang dibawa arus - Utusan Malaysia

Lebih 10,000 ikan patin hilang dibawa arus

SANGKAR ikan patin milik MZ Agriculture rosak dilanggar kayu balak hanyut dalam kejadian banjir pada 18 Disember lalu di Kampung Pangsenam di Temerloh, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Lebih 10,000 ekor ikan patin sangkar milik penternak, MZ Agriculture Kampung Pangsenam, di sini hilang dibawa arus ekoran musibah banjir 18 Disember lalu.

Lapan raga daripada 70 sangkar milik pengusaha itu juga hilang dibawa arus sekali gus mencatatkan kerugian dianggarkan sehingga RM100,000.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemilik MZ Agriculture, Mohd. Zahran Ishak berkata, banjir kali ini menyaksikan banyak kayu balak hanyut dibawa arus.

“Kayu-kayu balak yang hanyut ini melanggar sangkar ikan menyebabkannya rosak dan pecah. Sembilan sangkar saya rosak, lapan raga sangkar hilang dibawa arus manakala satu raga masih ada tetapi pukatnya pecah,” katanya di sini semalam.

Mohd. Zahran berkata, penternak ikan patin harus menerima hakikat mereka berada di kawasan banjir khususnya pada musim tengkujuh yang melanda setiap hujung tahun.

“Sejak berkecimpung dalam projek ternakan ikan sangkar, saya kerap kali mengalami kerugian besar seperti pengalaman banjir besar pada 2014 dan musim kemarau Sungai Pahang hampir kering sekitar pada 2015.

“Pengusaha ikan sangkar seperti kami cukup terkesan dengan insiden (banjir) yang berlaku pada 2014 sehingga menyebabkan ramai mengalami kerugian besar tetapi projek (ternakan ikan) tetap perlu diteruskan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Projek MZ Agriculture, Athilah Abd. Rahim berkata, pihaknya sentiasa berwaspada dengan mengambil langkah keselamatan setiap kali musim tengkujuh agar insiden sangkar ikan hanyut tidak berulang.

Bagaimanapun, katanya, walaupun 70 sangkar dapat dibawa ke kawasan tebing dan diikat pada pokok tetapi arus sungai deras menyebabkan sangkar pecah dan rosak.

Graduan Sains Kimia Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor yang bekerja dengan sepupunya, Mohd. Zahran sejak empat tahun lalu mengakui cabaran hebat untuk menjalankan ternakan ikan sangkar.

Menurutnya, benih-benih ikan baharu telah dimasukkan ke sangkar pada awal tahun ini melalui bantuan pelbagai pihak termasuk Jabatan Perikanan negeri.

Beliau berharap proses pembesaran ikan patin lancar sehingga tempoh matang kerana kejayaan itu menjadi penentu masa depan syarikat MZ Agriculture.

Dalam pada itu, katanya, golongan penternak ikan patin ketika ini berada dalam dilema kerana harga makanan ikan semakin meningkat.

“Kami memerlukan lebih 350 beg makanan ikan sebulan. Satu beg jenama Dinding atau jenama TP bernilai RM62 (20 kilogram). Penternak memerlukan bekalan makanan ikan mencukupi bagi memastikan ikan lebih berkualiti dan rasanya lebih enak,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya