Lari daripada jagaan polis, tahanan kes samun dipenjara empat bulan - Utusan Malaysia

Lari daripada jagaan polis, tahanan kes samun dipenjara empat bulan

R. Theyagarajan dibawa ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi bagi menghadapi pertuduhan melarikan diri daripada jagaan polis. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Seorang tahanan kes samun yang tular melarikan diri 50 meter daripada trak polis di hadapan sebuah klinik minggu lalu, dihukum penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi di sini hari ini.

Hakim Effandi Nazila Abdullah yang bertindak sebagai majistret dalam kes itu, menjatuhkan hukuman tersebut terhadap R. Theyagarajan, 24, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikemukakan.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tertuduh ditangkap pada 9 Januari lalu.

Mengikut pertuduhan, Theyagarajan didakwa dengan sengaja melarikan diri daripada jagaan anggota polis yang mana tertuduh ketika itu telah ditahan secara sah.

Kesalahan itu dilakukan di Klinik Kesihatan Beranang di sini pukul 11 pagi pada 11 Januari lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon dikenakan hukuman denda yang ringan.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid memohon mahkamah mengenakan hukuman pemenjaraan dengan mengambil kira fakta kes selain tindakan tertuduh membahayakan orang awam.

“Kami (pendakwaan) memohon hukuman dalam bentuk pemenjaraan supaya menjadi pengajaran kepadanya dan orang awam agar tidak mengulangi perbuatan tersebut,” jelasnya.

Media pada 12 Januari lalu melaporkan cubaan seorang lelaki yang juga tahanan kes samun melarikan diri sebaik selesai ujian calitan Covid-19, namun ditangkap semula tidak jauh dari lokasi kejadian.

Sebelum ini, tular di media sosial sebuah video berdurasi 38 saat yang memaparkan seorang lelaki berpakaian tahanan berwarna ungu telah melarikan diri ketika urusan menempatkannya ke dalam trak polis.

Menurut polis, anggota bertugas telah mengiring seramai 19 tahanan dari Balai Polis Kajang ke Klinik Kesihatan Beranang untuk menjalani ujian calitan Covid-19.

Bagaimanapun sebaik selesai urusan tersebut, semua tahanan telah dinaikkan semula ke dalam trak polis manakala salah seorang daripada mereka secara tiba-tiba cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap semula dalam jarak 50 meter dari lokasi kejadian.

Tahanan itu yang disiasat berkaitan kes samun dibawa balik ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dan dimasukkan semula ke lokap.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya