HULU TERENGGANU: Seorang surirumah maut seleoas kereta dipandu suaminya terlanggar lopak air sebelum terbabas dan merempuh besi penghadang jalan di Kilometer 392.2, Lebuh Raya Pantai Timur 2(LPT2) berhampiran Bukit Besi di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, mangsa, Norbibi Arisya Ab. Latif, 26, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah dialami.
Suaminya, Nasir Mamat, 32, yang merupakan pemandu di Pejabat Perhutanan Kuala Terengganu pula patah bahu kiri di samping dua anak saudara yang berusia empat dan lapan tahun mengalami kecederaan ringan.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superitenden Mohd. Adli Mat Daud berkata, kemalangan berlaku apabila Honda Jazz dipandu suami mangsa hilang kawalan dan terbabas akibat melanggar lopak air.
Katanya, keluarga berkenaan yang dari rumah mereka di Batu Rakit, Kuala Nerus dipercayai dalam perjalanan menziarahi saudara di Cheneh, Kemaman.
“Suami mangsa bersama dua anak saudara dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan manakala mayat mangsa pula dibawa Unit Forensik hospital sama untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini. – UTUSAN ONLINE