Skim kawalan harga barang sepanjang tahun - Utusan Malaysia

Skim kawalan harga barang sepanjang tahun

KERAJAAN digesa melaksanakan skim kawalan harga sepanjang tahun dan bukannya ketika musim perayaan. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerajaan disaran melaksanakan skim kawalan harga sepanjang tahun yang dilihat mampu mengawal harga barangan daripada dieksploitasi khususnya ketika musim pera­yaan.

Timbalan Pengerusi Pertubuhan Hal Ehwal dan Pelindung Pengguna Sabah (CAPS), Datuk A. Nagaraju berkata, untuk itu kerajaan perlu bertegas dengan memantau harga di peringkat pengeluar dan juga pengilang.

Katanya, jika harga dikawal dari peringkat pertama, peniaga dan pengguna tidak akan me­ngalami kerugian selain kerajaan mene­tapkan harga siling barang ke­perluan harian.

“Kita tidak berpuas hati cara kerajaan menangani kenaikan harga barangan ketika ini. Kaedah yang digunakan tidak berkesan. Cari pendekatan baharu iaitu menetapkan harga siling bagi barang keperluan dan ia perlu dilaksanakan sepanjang tahun,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau berkata, contohnya,­ harga telur di Sabah kini men­ce­cah RM11.70 sen bagi gred C dan apabila aduan dilaporkan, ia dikatakan bukan barangan terkawal kerana kenaikan itu berlaku di luar musim perayaan.

Sementara itu Pesiden Per­satu­an Suara Konsumer Sarawak (Covas), Michael Tiong berkata, kerajaan dan sektor swasta perlu berbincang bagi mendapatkan mekanisme kawalan harga yang sesuai.

“Agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian dan Kastam perlu terlibat dalam hal ini, kerana mereka terlibat dalam rantaian bekalan yang akan mempengaruhi harga pada akhirnya.

“Kerajaan juga perlu memberi subsidi kepada pemilik yang menternak ayam, produk ayam untuk memastikan kos terkawal,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, kenaikan harga barang menimbulkan kegelisahan kumpulan yang paling terjejas ialah B40 dan ke bawah kerana mereka mempunyai pendapatan boleh guna yang terhad.

“Sebahagian besar perbelanjaan mereka adalah untuk barangan keperluan dan jika harga barang keperluan ini meningkat, bayangkan bagaimana mereka mahu menjalani kehidupan seharian serta berkualiti,” tegasnya.

Selain itu katanya, agensi kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) perlu mengadakan pasar yang menjual barangan keperluan seperti sayur-sayuran, ikan, daging dan ayam pada harga kawalan pasaran.

“Malah, pemantauan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) di setiap premis pasar raya mahupun kedai serbaneka juga wajar dilakukan agar peniaga tidak menaikkan harga jualan barangan sesuka hati,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya