MARANG: Selepas sehari kematian penyu ke-10 di Terengganu, hari ini seekor lagi reptilia marin itu ditemukan terdampar di Pantai Kelulut di sini.
Penyu agar betina dewasa itu dipercayai sudah mati empat hari lalu berikutan bangkainya yang mulai reput.
Pengarah Perikanan negeri, Ruzaidi Mamat berkata, siasatan awal mendapati penyu sepanjang 0.82 meter itu berkemungkinan mati akibat tertelan plastik.
“Aduan mengenai penemuan bangkai penyu itu dibuat oleh orang awam pada pukul 10.30 pagi,” katanya ketika dihubungi.
Semalam, penyu agar jantan dewasa ditemukan terapung oleh orang awam di perairan Pulau Kapas di daerah sama, kira-kira pukul 11 pagi.
Penyu itu dipercayai lemas akibat terperangkap pada pukat.
Kes terbaharu itu sekali gus menjadikan kematian penyu di Terengganu melonjak kepada 11 kes dengan kejadian pertama pada 3 Januari lalu.