KUANTAN: Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang memperoleh kutipan zakat harta berjumlah RM178 juta tahun lalu, meningkat berbanding RM158.2 juta pada 2020.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Datuk Ahmad Hairi Hussain berkata, jumlah kutipan zakat itu melebihi sasaran ditetapkan iaitu RM170 juta.
Menurutnya, berdasarkan rekod tahun lalu, bilangan pembayar turut mencatatkan peningkatan sekali gus menunjukkan pencapaian membanggakan walaupun kempen zakat bersemuka tidak dapat dilaksanakan.
“Kategori tertinggi zakat harta adalah zakat pendapatan yang berjumlah RM86.6 juta daripada 75,710 pembayar.
“Kategori kedua jumlah pembayar zakat harta tertinggi adalah zakat perniagaan yang meliputi perniagaan-perniagaan kecil sehinggalah badan-badan korporat,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan dan Anugerah Zakat di sini hari ini.
Berkenan berangkat Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pada majlis itu, sebanyak 12 buah badan korporat menunaikan zakat perniagaan masing-masing yang berjumlah keseluruhan RM19.3 juta.
Mengulas lanjut berkaitan prestasi agihan zakat, Ahmad Hairi berkata, bagi tahun lalu, RM177.4 juta telah diagihkan kepada 173,000 asnaf yang layak.
“Golongan asnaf fakir miskin menjadi antara penerima terbesar bantuan zakat bagi tahun lalu, dengan jumlah RM75 juta, melibatkan 126,000 penerima.
“Sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) pada tahun lalu, Muip memperuntukkan RM15.3 juta bagi 58,135 penerima membantu mereka yang terkesan ekonomi akibat hilang pekerjaan atau tidak boleh bekerja.
“Selain itu, sebanyak RM9 juta peruntukan diagihkan kepada mangsa banjir di negeri ini yang terkesan tahun lalu,” katanya.
Sementara itu, katanya, peningkatan zakat adalah penting bagi memastikan asnaf zakat di semua peringkat dan daerah dapat dibantu.
“Lebih 95,000 pembayar zakat pada lalu telah menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam membayar zakat.
“Muip merakamkan penghargaan kepada badan-badan korporat di luar Pahang yang telah menyumbang bayaran zakat berdasarkan urusniaga dihasilkan dari negeri ini seperti Lembaga Tabung Haji, bank-bank, FGV Group, Pertubuhan Peladang, Tenaga Nasional Berhad dan lain-lain syarikat,” katanya. -UTUSAN ONLINE