LIPIS: Tanah perkuburan lama Tanjung Betong berdekatan Kampung Kuala Telang dekat sini, yang berusia 170 tahun diancam runtuhan tebing Sungai Jelai berikutan kesan bencana banjir tahun lalu dan sebelum ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penduduk Kampung Kuala Telang, Mohd. Farid Mohd. Nor berkata, lebih 10 kubur di tebing sungai tersebut bila-bila masa boleh hilang bersama runtuhan tebing sekiranya musim hujan dan paras air sungai naik.
“Tanah perkuburan Tanjung Betong, sebuah penempatan lama dan bersejarah yang sudah tidak didiami penduduk di bawah pentadbiran Jawatankuasa Kemajuan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kuala Telang dan Masjid Kampung Kuala Telang kini diancam runtuhan tebing akibat arus deras Sungai Jelai.
“Berasaskan catatan buku ‘A History of Pahang’ karangan W. Linehan, bekas Pengarah Pendidikan Negeri-Negeri Selat (terbitan pertama 1936), kubur ini boleh dikaitkan dengan perwira Melayu dan penduduk Tanjung Betong yang meninggal dunia ketika Perang Saudara di Pahang berlangsung sekitar 1857 hingga 1863,” katanya ketika meninjau kawasan runtuhan tebing di Kampung Tanjung Betong, semalam.
Menurut Mohd. Farid, berasaskan catatan W. Linehan, Kampung Tanjung Betong dihuni penduduk pada 1800-an atau sebelumnya yang membina penempatan di pesisir Sungai Jelai serta wujud kegiatan perniagaan apabila menjadi persinggahan pedagang luar.
Katanya, akibat hakisan banjir baru-baru ini, ada beberapa batu nisan lama tercabut dan patah serta hilang dibawa arus Sungai Jelai.
“Kampung ini tidak lagi didiami penduduk kerana berpindah ke penempatan baharu di Kampung Kuala Telang, bandar Kuala Lipis dan kawasan berdekatan pada awal 80-an berikutan lokasi ini sering sering diancam banjir.
“Sekiranya berlaku kematian ahli keluarga, penduduk Kampung Telang dan berdekatan mempunyai dua pilihan untuk mengebumikan jenazah, iaitu di tanah perkuburan Kampung Berala dan Kampung Ijok,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi JKKK Kuala Telang, Satmi Othman berkata, jawatan kuasa pengurusan kampung dan masjid akan merujuk kepada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) tentang kaedah pemindahan kubur lama di situ kerana hakisan tebing sungai semakin teruk.
“Kita mempunyai tapak (tanah) perkuburan Kampung Berala dan Kampung Ijok berdekatan Kampung Kuala Telang yang menjadi antara alternatif untuk memindahkan makam lama berkenaan sekiranya mendapat persetujuan pihak JAIP serta waris,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE