RAUB: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengingatkan peniaga kawasan luar bandar supaya jangan mengaut keuntungan dengan menaikkan harga barang sewenang-wenangnya serta mengabaikan akta perdagangan sehingga menyusahkan pengguna.
Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam menegaskan, pejabat penguat kuasa kementerian itu di seluruh negara sentiasa melakukan pemantauan dan pemeriksaan mengejut bukan sahaja kawasan bandar malah di pinggir dan luar bandar.
“Hal ini berasaskan kekerapan pemeriksaan mengejut ke atas peniaga di luar bandar seluruh negara, iaitu pada 2019 sebanyak 12,221 premis diperiksa dan daripada itu sebanyak 1,554 premis di luar bandar, iaitu 13 peratus dibuat pemeriksaan mengejut oleh penguat kuasa setiap negeri.
“Pada 2020 pula, sebanyak 692,906 premis diperiksa dan daripada jumlah itu sebanyak 136,922 premis, iaitu 20 peratus terletak di luar bandar,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan pemeriksaan dan pemantauan khas di kawasan Ulu Sungai dan Cheroh berdekatan bandar Raub di sini hari ini.
Selanjutnya menurut Azman, pada 2021 pula sebanyak 865,086 premis diperiksa dan daripada jumlah itu 148,430 buah, iaitu sebanyak 17 peratus premis berada di kawasan luar bandar serta berterusan sehingga 28 Januari 2022, sebanyak 80,465 buah premis dilakukan pemeriksaan di seluruh negara dan daripada jumlah tersebut sebanyak 19 peratus melibatkan 12,834 premis yang terletak di luar bandar telah dilawati oleh pegawai penguat kuasa KPDNHEP.
“Kita mendapati tahap pematuhan oleh peniaga sangat baik dan dipuji kerana mematuhi akta perdagangan berasaskan bekalan barangan untuk keperluan harian pengguna stabil serta mencukupi khususnya persiapan bagi menyambut perayaan Tahun Baharu Cina minggu ini.
“KPDNHEP sentiasa memfokuskan kawasan luar bandar antara keutamaan pemantauan harga barang dan bekalan barang mencukupi untuk jaminan masyarakat pengguna luar bandar dapat menikmati keselesaan berbelanja tanpa tekanan kenaikan atau manipulasi harga di samping mudah memperoleh barang keperluan,” katanya.
Azman menambah, penguatkuasaan dan pemantauan berterusan di kawasan luar bandar ini juga amat penting bagi memastikan peniaga di kawasan luar bandar terus mematuhi akta perdagangan yang telah dikuatkuasakan oleh pihak KPDNHEP.
“Saya menggalakkan masyarakat pengguna di luar bandar dapat menyalurkan maklumat dan membuat aduan sekiranya berlaku gangguan bekalan keperluan asas serta aktiviti peniaga yang menaikkan harga barang sesuka hati atau mencatut sehingga menyusahkan pengguna,” katanya.
Jelasnya, pengguna boleh menyalurkan maklumat berhubung salah laku oleh peniaga kepada pihak KPDNHEP melalui saluran berikut: WhatsApp 0192794317; portal aduan e-aduan.kpdnhep.gov.my; Call Centre 1-800-886-800 dan [email protected] dan Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC), 03-8882 6088/6245.