LUMUT: Pihak berkuasa negeri sukar mengambil tindakan seperti menyita jentera atau menahan individu yang didakwa melakukan aktiviti perlombongan pasir silika di kawasan pantai Pasir Panjang, Segari dekat sini, kerana ia dilakukan di atas tanah milik persendirian.
Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Manjung bagaimanapun sekali lagi mengarahkan diberhentikan kerja-kerja tanah dan pengorekan pasir di kawasan itu yang berhampiran lokasi pendaratan penyu, dan didakwa memberi kesan terhadap alam sekitar serta boleh mengganggu ekosistem habitat penyu.
Pada masa sama, Majlis Perbandaran Manjung (MPM) memasang pita penghalang di sekitar tapak lokasi yang telah beroperasi berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 70 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974/Akta 133.
PDT Manjung dalam kenyataan di Facebooknya berkata, tindakan itu dilakukan dalam pemantauan bersepadu Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Perak, PDT Manjung, MPM, Jabatan Perhutanan Perak, serta beberapa orang anggota polis di situ pada Isnin lalu, diketuai Pegawai Daerah Manjung, Shamsul Ridzuan Idris.
“Sejak tahun lepas, sudah beberapa kali pemantauan dilakukan dan meminta supaya pemilik tanah menghentikan kerja-kerja pengorekan pasir ini dan mereka bersetuju serta akur dengan arahan penguat kuasa.
“Kuasa yang ada turut membataskan pihak penguatkuasa untuk menyita jentera serta menahan individu terbabit kerana kerja-kerja adalah di atas tanah milik (persendirian) dan bukannya berstatus tanah kerajaan,” kata kenyataan dalam Facebook tersebut semalam.
Menurut kenyataan tersebut, lawatan dan pemantauan itu dilakukan susulan aduan daripada Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) yang menyatakan satu aktiviti pengorekan pasir telah berlaku berdekatan kawasan pendaratan penyu Pantai Pasir Panjang, di mana kawasan itu merupakan kawasan sensitif alam sekitar Tahap 1.
Ia bermaksud lokasi itu langsung tidak boleh dijalankan sebarang aktiviti pembangunan selain pelancongan terkawal dan penyelidikan sebagaimana yang dinyatakan dalam Rancangan Fizikal Negara serta Rancangan Tempatan Daerah.
Jelasnya, pemantauan bersepadu itu turut dilakukan dari laut oleh beberapa orang kakitangan PTG Perak serta PDT Manjung untuk melihat bukti-bukti sekiranya pihak pemilik tanah pernah mengeluarkan pasir silika menggunakan jalan air atau sebaliknya.
“Pihak pentadbiran daerah telah dimaklumkan bahawa permohonan ini masih belum dikeluarkan sebarang lesen atau permit bagi aktiviti pengambilan pasir.
“Pihak berkuasa menasihati pemilik tanah bahawa kawasan ini adalah kawasan sensitif alam sekitar tahap 1 dan sebarang pengorekan hanya boleh dilakukan setelah mendapat kelulusan Jawatankuasa Permohonan Pasir Silika dan Permit Khas Mineral, jika ianya diluluskan,” jelas kenyataan itu.
Sebelum ini, Pengarah Tanah dan Galian Perak, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip, telah mengarahkan kerja-kerja pengorekan dihentikan serta-merta.
Ini adalah kerana tiada sebarang kelulusan di atas tanah berkenaan untuk melakukan sebarang kerja-kerja pengambilan pasir silika.
Pada masa sama, Yang Dipertua MPM, Syamsul Hazeman Md. Salleh pula mengesahkan pihaknya tidak menerima permohonan kebenaran melakukan kerja tanah daripada pihak pemilik tanah.