SEGAMAT: Koordinasi dan kerjasama antara agensi kerajaan di Johor bagi menguruskan mangsa banjir yang terjejas dengan bencana itu berjalan dengan baik dan lancar sejak Jumaat lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, keadaan di negeri itu nampak lebih bersedia dengan kesemua aset dan kekuatan yang perlu digerakkan tidak berdepan sebarang masalah.
“Keutamaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah memikirkan bagaimana kita hendak pindahkan mangsa-mangsa banjir sekiranya bencana itu berlaku.
“Itu keutamaan kita untuk selamatkan nyawa dan selepas itu baru kita fikirkan di kawasan pusat pemindahan sementara (PPS) dengan kerjasama agensi-agensi dan kementerian untuk mengedar keperluan. Semua ini saya tengok kepemimpinan dan koordinasi peringkat negeri dan daerah berada dalam keadaan cukup selasa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar ketika meninjau keadaan banjir di daerah itu bersama-sama Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad yang turut singgah ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tambang, di sini, hari ini.
Pada pertengahan bulan lalu, banjir yang melanda beberapa kawasan di ibu negara termasuk Shah Alam dan daerah-daerah lain di Selangor mengundang pelbagai reaksi dan dakwaan sehingga pihak berkuasa dikatakan lambat memberi respon kepada mangsa.
Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, ATM sudah menggerakkan 196 anggotanya termasuk 12 pegawai menerusi Operasi Murni (Op Murni) ke beberapa daerah di Johor yang kini berhadapan bencana banjir.
Beliau berkata, pasukan yang diletakkan dalam keadaan bersiap siaga itu sebelum ini sudah mula diatur gerak ke daerah Tangkak, Segamat, Kota Tinggi, Kluang dan Mersing yang dilanda banjir.
“Setakat pukul 12 tengah hari tadi, seramai 12 pegawai dan 184 anggota lain-lain pangkat sudah berada di lapangan dan memulakan tugas operasi.
“Sebanyak 31 aset ATM turut diatur gerak ke semua daerah itu membabitkan tujuh bot dan enjin bot, satu trak tujuh tan, 14 trak tiga tan serta dua trak satu tan,” katanya
Katanya, kesemua anggota dan aset itu adalah dari Batalion ke-5 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Rejimen Ke-33 Rejimen Artileri Diraja (RAD), Rejimen Ke-2 RAD dan Rejimen Ke-4 RAD serta Batalion Ke-6 Rejimen Renjer Diraja (RRD), Rejimen 501 Askar Wataniah serta Skuadron Ke-8 Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD).
Tambah beliau, ATM sentiasa berkomunikasi dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Meteorologi untuk maklumat terkini paras semasa air sungai di seluruh negeri Johor serta ramalan cuaca khususnya di sebelah Selatan Semenanjung.
“Selain Johor, Op Murni turut sedang giat dilaksanakan di seluruh negara dan secara keseluruhan setakat ini, seramai 60 pegawai dan 1,123 anggota lain-lain pangkat diatur gerak ke seluruh negara termasuk Johor,” katanya. -UTUSAN ONLINE