PETALING JAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan bahawa kontrak bagi atlet sepenuh masa akan dinilai berdasarkan persembahan semasa atlet di temasya sukan.
Kontrak sebegitu mungkin akan memberikan motivasi, atau sebaliknya memberikan tekanan kepada atlet semasa mengharungi temasya.
Bagaimanapun, perkara itu tidak menjatuhkan motivasi ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi.
Sebaliknya perkara berkenaan mendorong dia untuk lebih bekerja keras dalam memburu keputusan terbaik di Sukan SEA Hanoi, Mei ini.
“Sebagai atlet, saya sentiasa mahu melakukan persembahan terbaik dan sekiranya kontrak saya sampai Sukan SEA sahaja, jadi saya akan buat lebih baik untuk memastikan ia disambung.
“Saya rasa kebanyakan atlet pun begitu. Kami gigih berlatih setiap hari untuk membawa pulang pingat dan menaikkan lagi nama Malaysia di persada dunia,” katanya.
Kata pemenang tujuh pingat emas Sukan SEA itu, dia menerima apa sahaja keputusan yang dibuat oleh Majlis Sukan Negara (MSN) berhubung kedudukan kontrak atlet, biarpun sedar segelintir rakan seperjuangannya tidak gembira dengan perkembangan semasa.
“Saya sudah dalam pasukan hampir 20 tahun dan memang ada tahun kontrak dibuat berdasarkan persembahan atlet di temasya tetapi ketika ini oleh kerana berlaku pandemik Covid-19 dan bencana banjir, saya sebagai atlet terima sahaja apa yang kami dapat,” ujarnya.
Farah Ann, 27, yang membuat penampilan pertama dalam Sukan Olimpik di Tokyo, tahun lalu menjadi sandaran Malaysia untuk mempertahankan tiga pingat emas yang dimenangi di Sukan SEA Filipina 2019.