KEPALA BATAS: Dalam kalangan peminat muzik terutama generasi baharu, mungkin terpinga-pinga apabila mendengar nama Mohamad Din Haniffa, 56, atau lebih dikenali sebagai komposer Mat Din dan Din As-Salam.
Bagaimanapun, bagi para penggiat seni serta peminat muzik tempatan khususnya berusia lebih 30 tahun, pasti akan mengenali sosok tubuh figura ini atau setidak-tidaknya pernah mendengar mengenainya.
Pernah menghasilkan lagu untuk beberapa penyanyi ternama termasuk Allahyarham Datuk Nassier Wahab, Rohayu Majid, kumpulan Data, Ibnor Reza serta ramai artis lain, Mohamad Din juga pernah menerima anugerah Tokoh Muda Seni Muzik oleh Kelab Peminat Seniman Negara Ahmad Nawab Pulau Pinang kira-kira 10 tahun lalu.
Sehingga kini, bapa kepada empat cahaya mata itu masih aktif menghasilkan lagu termasuk untuk sekolah-sekolah, jabatan-jabatan kerajaan atau untuk sebarang kejohanan dan majlis.
Mohamad Din ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini memberitahu, buat masa ini, dia kurang aktif dalam menghasilkan lagu-lagu berbentuk komersial kerana masanya tidak sesuai selain dianggap kurang mendapat sambutan khususnya daripada generasi baharu.
“Sebab itulah saya lebih tumpukan kepada lagu-lagu berunsurkan kerohanian, ketuhanan, nasihat dan sebagainya ketika ini.
“Tujuan saya tubuhkan studio muzik mini di rumah saya juga bukanlah untuk menerbitkan album dan mengaut keuntungan semata-mata.
“Tapi lebih kepada usaha untuk membantu dan memberi peluang kepada mana-mana sekolah dan jabatan kerajaan terutamanya dalam menerbitkan lagu mereka sendiri,” kata anak jati Pulau Pinang itu.
Menurut pengasas kumpulan nasyid As-Salam itu, studio tersebut iaitu Ilham Cipta Production (ICP) Studio sebelum ini dibina di Tasek Gelugor, namun terpaksa dipindahkan ke Kuala Muda, Kedah selepas dia dan keluarganya berpindah.
“Selain sekolah dan jabatan kerajaan, saya juga terbuka untuk menghasilkan sebarang lagu tema untuk majlis-majlis, pertandingan dan sebagainya pada harga berpatutan,” katanya yang turut dibantu oleh isteri, Juraini Shariff, 50, sebagai penulis lirik.
Ditanya mengenai tempias perintah kawalan pergerakan (PKP) gara-gara Covid-19 sebelum ini, kata Mohamad Din, dia turut terkesan apabila studionya terpaksa ditutup selama hampir dua tahun.
Disebabkan itu juga Mohamad Din berkata, dia turut mengalami kerugian apabila beberapa barangan termasuk peralatan muziknya rosak kerana tidak digunakan untuk tempoh lama.
“Inilah masanya untuk saya kembali aktif dalam menerbitkan lagu dan menyumbang kepada masyarakat dengan cara saya sendiri,” ujarnya yang juga pernah menerbitkan lagu untuk pendakwah terkemuka seperti Ustaz Abdullah Khairi (UAK) sebelum ini.