PUTRAJAYA: Kluster aktif Covid-19 terus merekodkan penambahan jumlah yang kini merekodkan sebanyak 291 kluster berbanding semalam, 289 kluster.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, bagaimanapun, jumlah kluster Covid-19 baharu menunjukkan penurunan mendadak apabila hanya mencatatkan lima kluster berbanding semalam, 23 kluster.
“Ia menjadikan jumlah kluster terkumpul sejak pandemik melanda negara iaitu 6,399 kluster. Jumlah kluster yang tamat sebanyak 6,108 kluster berbanding semalam, 6,105 kluster,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, Malaysia mencatatkan sebanyak 5,139 kes positif menunjukkan sedikit penurunan berbanding semalam, 5,522 kes sekali gus mengatasi 3,767 kes sembuh.
“Jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan merekodkan penurunan iaitu 69 kes berbanding semalam, 70 kes. Pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) pula merekodkan penurunan, 119 kes berbanding semalam, 127 kes,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, jumlah kematian yang dilaporkan mencatatkan peningkatan iaitu 12 kes berbanding semalam, 10 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 7 petang, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 31,952 kes.
Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), satu kes daripada 12 kes dengan jumlah keseluruhan sebanyak 6,438 kes. – UTUSAN